Cabaran besar PH di Rantau kerana Tok Mat ada kelebihan, kata Azmin

Cabaran besar PH di Rantau kerana Tok Mat ada kelebihan, kata Azmin

Tetapi, timbalan presiden PKR itu yakin PH mampu memberi saingan kepada Umno di Rantau kerana mereka mempunyai jentera kuat dan strategi betul.

Azmin Ali berkata, Mohamad Hasan pernah menjadi Adun Rantau dan menteri besar Negeri Sembilan.
KUALA LUMPUR:
Pakatan Harapan menjangkakan cabaran besar dalam pilihan raya kecil Rantau pada 13 April nanti kerana Umno besar kemungkinan menurunkan Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan, kata Azmin Ali.

Timbalan presiden PKR itu berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mempunyai kelebihan kerana pernah menjadi Adun Rantau dan menteri besar Negeri Sembilan.

“Tetapi, saya percaya dengan gabungan tenaga PH, jentera yang kuat dan strategi yang betul, kita dapat memberikan saingan kuat di Rantau,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Mohamad yang merupakan anak jati Rantau, pernah menjadi Adun Rantau dan menteri besar Negeri Sembilan sejak 2004 hingga tahun lalu.

Semalam, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan Dr Streram Sinnasamy sebagai calon PH bagi PRK pada 13 April nanti.

Streram dijangka berdepan Mohamad yang menang tanpa bertanding kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Streram dilarang memasuki pusat pencalonan untuk menyerahkan borangnya pada hari penamaan calon 28 April tahun lalu kerana tiada pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalkan kemenangan Mohamad di kerusi itu, selepas hakim membenarkan petisyen difailkan Streram.

Hari ini, Azmin berjanji PH tidak akan memainkan isu perkauman dalam PRK Rantau, sebaliknya gabungan itu akan berpegang kepada prinsip untuk semua rakyat menikmati pembangunan dan kemakmuran negara.

“Kita akan memberikan penjelasan beberapa inisiatif kita lakukan dan harap rakyat terima pandangan dan dasar kerajaan PH.”

Kertas putih Felda

Sementara itu, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi berkata, perbincangan sedang diadakan untuk memilih tarikh pembentangan kertas putih Felda di Dewan Rakyat.

“Kita ada berbincang oleh pihak di Parlimen dan harap-harap dapat dibentangkan secepat mungkin.”

Kertas putih itu dijangka mampu memberi gambaran jelas dan mendalam tentang “kemelut” menyelubungi Felda dalam usaha membantu kerajaan dan pengurusan baru Felda merangka pelan pemulihan serta hala tuju yang lestari dan mampan.

Kertas putih itu menyusuli dakwaan masalah aliran tunai dan pengurusan kewangan lemah dalam Felda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.