
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penguatkuasaan tegas oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membolehkan kerajaan menyelamatkan wang berkenaan untuk disalurkan semula kepada rakyat yang memerlukan.
“Dalam tempoh dua tahun lepas, kita kumpul wang yang hilang… jadi, rakyat termasuk di kampung dan Felda kena tahu macam mana boleh selamat, wang itu bocor dan hilang di tangan orang tertentu.
“… ini kita kena hentikan… sebab itu, kita kena guna kuasa politik dan sosial untuk fikir bagaimana nak bela nasib rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Bersama Peneroka Felda Semenchu.
Turut hadir Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi yang juga Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said, Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Hasan dan Pengerusi Felda Shabery Cheek.
Anwar berkata kerajaan kini menanggung subsidi yang sangat besar mencecah RM6 bilion sebulan bagi menjayakan program subsidi BUDI95 serta pemberian subsidi diesel kepada petani, nelayan dan pengangkutan awam.
Beliau tidak menolak kemungkinan jumlah itu akan terus bertambah sekiranya krisis tenaga global berlarutan.
Sementara itu, perdana menteri berkata pengurusan Felda perlu terus diperbaiki bagi memulih dan mengangkat semula martabat agensi berkenaan yang sebelum ini terkait dengan masalah beban hutang lama.
Beliau turut memberi jaminan bahawa agenda pembangunan Felda akan terus diperkasa termasuk aspek pendidikan, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti peneroka.
Pada majlis itu, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan asas di Felda Semenchu merangkumi penambahbaikan kemudahan awam termasuk sekolah, masjid dan infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.