
Penembak itu, yang menamakan dirinya di Twitter sebagai “Brenton Tarrant” dari Australia, menghalakan camera pada diri sendiri sebelum melancarkan serangan.
Dalam manifesto 73 halaman yang disiarkan dalam talian, dia menggambarkan dirinya sebagai seorang lelaki kebanyakan berketurunan orang putih.
Lelaki berusia 28 tahun itu berkata dia daripada “keluarga kelas pekerja berpendapatan rendah…yang mengambil keputusan untuk membuat pendirian demi memastikan masa depan bangsa.”
Penembak itu, yang sedang disiasat polis anti-pengganas New South Wales susulan laporan mengatakan dia berasal dari bandar Grafton, berkata dia melancarkan serangan untuk mengurangkan penghijrahan ke tanah-tanah milik orang Eropah.
Gambar di kepala akaun Twitter milik Tarrant memaparkan seorang mangsa serangan pengganas di Nice, Perancis pada 2016.
Gambar popular oleh jurugambar Reuters, Eric Gaillard itu menjadi simbol kepada peristiwa yang menyaksikan 84 orang terbunuh apabila sebuah trak melanggar orang ramai, kata Reuters.
Dia berkata alasannya untuk menunjukkan kepada “penjajah” bahawa “tanah kami” tidak akan jadi milik mereka, kerana “selagi orang putih masih bernyawa, mereka tidak akan dapat menjajah tanah kami dan mereka tidak mungkin menggantikan orang kita”.
Tarrant berkata dia merancang serangan itu sejak 2 tahun lalu, dan mengambil keputusan untuk melancarkan serangan di Christchurch 3 bulan lepas.
New Zealand bukan pilihan asal, tetapi negara itu menjadi sasaran kerana ia mempunyai persekitaran seperti negara-negara lain di Barat, katanya.
“Serangan di New Zealand akan menarik perhatian kepada serangan ke atas ketamadunan kami, mengumumkan tiada tempat di dunia ini yang selamat, penjajah berada di serata tanah kita, termasuk di ceruk rantau, tiada lagi tempat yang selamat dan bebas daripada penghijrahan beramai-ramai.”
Mendakwa dirinya mewakili jutaan orang Eropah dan nasionalis etnik lain, dia berkata “kita mesti pastikan kewujudan orang-orang kita, dan masa depan anak-anak orang putih.
Dia menggambarkan serangannya sebagai “membalas dendam terhadap penjajah” atas ratusan ribu kematian di tangan “penjajah asing” di Eropah sepanjang sejarah mereka dan “atas perhambaan jutaan orang Eropah yang diambil dari negeri masing-masing oleh pedagang Islam” dan ribuan orang Eropah yang terbunuh dalam serangan pengganas di serata benua itu.
Dia juga mahu membalas dendam untuk Ebba Akerlund, kanak-kanak berusia 11 tahun yang terbunuh dalam serangan pengganas di Stockholm, Sweden pada 2017.
Dia berkata serangannya diilhamkan daripada lawatannya ke Perancis pada 2017. “Bertahun-tahun aku dengar dan baca tentang penjajahan Perancis oleh orang-orang bukan berkulit putih, dan aku anggap khabar angin dan cerita-cerita ini dibesar-besarkan, untuk menyampaikan satu naratif politik.
“Tetapi sebaik sahaja tiba di Perancis, aku dapati cerita-cerita itu bukan sahaja benar tetapi dikecilkan. Di setiap kota Perancis, di setiap pekan, ada penjajah di situ.”
Tarrant sama sekali tidak menyesali tindakannya. “Aku hanya berharap aku boleh bunuh lebih banyak penjajah, dan lebih banyak pengkhianat.”
Dia mengakui serangannya mempunyai unsur perkauman, menggambarkan ia sebagai “anti-penghijrahan” dan “serangan atas nama kepelbagaian”.
Di satu forum 8chan, seorang pengguna bernama Tarrant mengumumkan dia akan melancarkan serangan itu.
“Andai aku gugur dalam serangan itu, selamat tinggal, moga Tuhan rahmati kamu dan semoga kita bertemu di Valhalla!” katanya, merujuk kepada kayangan untuk para perwira dalam mitos Eropah.
Ramai pengguna tanpa nama memuji serangan itu, dengan komen seperti “selamat jalan” dan “video kamu sangat bagus”.