Tindakan ‘pembetulan’ untuk sekolah asing pelajar ikut agama di Sabah

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, wujud agenda lebih besar dalam sistem pendidikan kita, iaitu perpaduan rakyat.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan meminta Jabatan Pendidikan Sabah “membetulkan” langkah sebuah sekolah menengah di negeri itu mengasingkan pelajar Islam dan bukan-Islamnya mengikut anutan agama mereka.

Bercakap kepada FMT, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pentadbir sekolah perlu lebih sensitif dan berhati-hati dalam memimpin sekolah mereka.

“Kementerian Pendidikan berhasrat mewujudkan pendidikan berteraskan nilai dan (sikap) saling menghormati adalah salah satu nilai dan budaya teras yang selalu ditegaskan oleh Menteri Pendidkan, Maszlee Malik, khasnya dalam negara kita yang menuntut perpaduan kaum.”

Beliau berkata, pengasingan pelajar mengikut anutan agama boleh diterima semasa kelas Pendidikan Islam dan Pengetahuan Moral, tetapi ia hanya bertujuan memudahkan proses pembelajaran.

“Di sana ada agenda perpaduan yang lebih besar dalam sistem pendidikan kita.”

Teo berkata, Jabatan Pendidikan Sabah telah memaklumkan kepada kementerian bahawa pegawai dari Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) dan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) akan pergi ke sekolah berkenaan esok bagi membantu “tindakan pembetulan” itu.

Semalam dilaporkan pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah di Kota Kinabalu ditempatkan ke kelas mengikut anutan agama masing-masing.

Langkah pengasingan itu bermula pada Januari lepas dengan 4 kelas diperuntukkan kepada pelajar bukan Islam, dan 2 untuk pelajar Islam.

Pengasingan kelas itu dijangka terpakai untuk tempoh 3 tahun akan datang.

Dalam satu rakaman video, pengetua sekolah berkenaan menjelaskan antara sebab sistem baru itu diperkenalkan ialah isu keselamatan pelajar, kekurangan bilik darjah untuk subjek Pendidikan Islam dan aduan pelajar yang keliru tentang lokasi kelas mereka.