
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menegaskan pemberian AP terbuka import kenderaan kepada syarikat-syarikat patut dihentikan.
“Saya cadangkan yayasan dinamakan Yayasan Bumiputera AP import kereta dan semua AP diberikan kepada yayasan ini.
“Keuntungan daripada jualan kereta ini boleh diberi kepada Melayu golongan B40,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Ong Kian Ming memaklumkan, kerajaan akan menyiasat sama ada “orang Umno” yang memiliki syarikat pengimport kereta masih memegang AP.
MITI mengesahkan 36 syarikat baru milik Bumiputera dilantik sebagai pemegang AP, dengan syarat ketat ditetapkan, termasuk berkaitan dasar AP terbuka.
Syarat-syarat tersebut termasuk pemilikan 100 % Bumiputera dengan modal berbayar sekurang-kurangnya RM1 juta, dan mempunyai pengalaman menjual serta mengedar kenderaan sekurang-kurangnya 2 tahun.
Lim mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih membantu syarikat-syarikat pengimport kereta sedia ada yang beliau anggap sudah kaya.
“Mengapa kerajaan masih bantu syarikat pengimport yang sudah kaya?
“Kerajaan sepatutnya bantu Melayu B40, bukan 40 Melayu terkaya, itu cadangan saya,” katanya.