Jawatankuasa saran Putrajaya wujudkan SOP bencana pencemaran kimia

Jawatankuasa saran Putrajaya wujudkan SOP bencana pencemaran kimia

Jawatankuasa Saintifik Bencana berkata SOP akan membantu pihak berkuasa memantau pencemaran kimia di masa depan.

(Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Jawatankuasa Saintifik Bencana hari ini menyarankan kerajaan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bencana pencemaran kimia susulan insiden pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, 2 minggu lepas.

Difahamkan dengan adanya SOP berikut, ia akan dapat membantu pihak berkuasa, memandangkan insiden seumpama itu pertama kali berlaku di negara ini.

Pengerusi Abdull Dr Rahim Mohd Yusoff berkata pihaknya turut menyarankan agar pemasangan sistem pemantauan kualiti udara yang komprehensif dilakukan di Pasir Gudang.

“Sebelum ini tidak ada, tetapi (SOP) untuk banjir ada. Justeru itu SOP (pencemaran) kimia itu perlu ada, sebab Pasir Gudang merupakan salah satu tempat yang ada industri kimia. Jadi mesti ada (SOP) yang boleh buat pantau gas toksik,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin membentangkan laporan terperinci mengenai pencemaran sisa kimia di sungai berkenaan.

Jawatankuasa itu yang ditubuhkan pada 16 Mac lepas, dipengerusikan Abdull Rahim, yang juga dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta dibantu Pengarah Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UTM Dr Jafariah Jaafar dan pensyarah kanan fakulti itu, Dr Faizuan Abdullah.

Jawatankuasa itu disertai agensi kerajaan dan pakar berkaitan, antaranya, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kimia, UTM dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.