Bina lapangan terbang guna dana swasta bukti keyakinan pelabur, kata Putrajaya

Bina lapangan terbang guna dana swasta bukti keyakinan pelabur, kata Putrajaya

Pembinaan lapangan terbang di Kulim itu secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
KUALA LUMPUR:
Pelaksanaan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Kedah dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dibiayai menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) membuktikan keyakinan pelabur kepada negara ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pembinaan lapangan terbang di Kulim itu secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Kalau dari segi pembiayaan swasta, saya rasa ia suatu perkara yang baik. Kalau swasta yakin dan hendak melabur itu mencerminkan keyakinan yang meningkat kepada kerajaan Malaysia dan Kedah.

“Sekiranya ada pihak swasta mahu melabur membina kedua-dua lapangan antarabangsa, saya rasa tidak ada masalah. Ia adalah sesuatu yang baik kerana boleh memangkin pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan, katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta Putrajaya melaksanakan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu sebelum membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Kata Chow, kajian tersebut adalah perlu bagi mengkaji impak keseluruhannya, termasuk kesan jangka panjang kepada ekonomi Pulau Pinang.

Chow berkata, ini kerana kerajaan negeri menerima pelbagai reaksi dan maklum balas, terutamanya dari komuniti peniaga yang mempersoalkan kewajaran pembinaan lapangan terbang tersebut.

Lim turut menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul berhubung pembiayaan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim, yang menurutnya bukanlah geran daripada kerajaan seperti yang didakwa.

“Kedua-duanya adalah PFI. Sekiranya kerajaan hendak berikan geran, sudah tentu kita bersikap adil dan kedua-dua lapangan terbang di Kedah dan Pulau Pinang ini akan dapat geran.

“Tetapi seperti yang kita umumkan sebelum ini, ia tidak mampu diuruskan oleh kerajaan kerana kekangan kewangan,” katanya.

Jelas Guan Eng, sekiranya Putrajaya memiliki baki kewangan, beliau lebih berminat untuk membantu progam yang memerlukan bantuan daripada kerajaan, sama ada dalam aspek menambah pendapatan atau peluang pekerjaan.

Sokong tambah bilangan jambatan dengan Singapura

Pada masa sama, Lim turut menyokong hasrat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mahu menambah bilangan jambatan menghubungkan Malaysia dan negara jiran, Singapura.

Lim berkata, hasrat Malaysia itu bagaimanapun tidak boleh dilakukan sesuka hati, sebaliknya perlu mendapatkan persetujuan secara bersama dengan Singapura.

“Kita perlu dapatkan persetujuan daripada Singapura. Kita tidak boleh suka-suka bina. Kita kena runding dengan Singapura dan mendapat persetujuan, tetapi seperti saya sebut tadi memang saya sokong pandangan ini kerana ada keperluan untuk bina satu lagi jambatan,” katanya.

Pada 19 Mac lalu, Dr Mahathir berkata, Malaysia dan Singapura memerlukan sekurang-kurangnya 3 jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara.

Sebagai perbandingan katanya, Pulau Pinang yang mempunyai jumlah penduduk lebih sedikit daripada Singapura sudah memiliki 2 jambatan dan bakal membina terowong untuk menghubungkannya dengan Seberang Perai.

“Trafik di Singapura lebih besar dan sibuk berbanding Pulau Pinang, (tetapi) kita hanya mempunyai sebuah jambatan dan tambak. Kita memerlukan sekurang-kurangnya 3 ke 4 jambatan baru.

“Kita sedang cuba membina hubungan komunikasi yang lebih baik dengan Singapura dan sedang berunding untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.