
Mohd Haziq Mohd Tarmizi kini antara 50 orang yang terbunuh dalam kejadian tembakan di sebuah masjid di Christchurch pada 15 Mac.
Perkara ini dinyatakan exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang berkata perkara ini disahkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand.
Bapa remaja berkenaan, Mohd Tarmizi Shuib, 42, merupakan salah seorang yang cedera dalam kejadian itu dan sedang dirawat di Hospital Christchurch.
Anaknya yang lain, Mohd Haris, 12, menerima rawatan trauma mental di sebuah hospital kanak-kanak berhampiran.
Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden itu – Mohd Nazril Hisham Omar, 46, dan Rahimi Ahmad, 39.
Setakat ini jumlah rakyat Malaysia yang cedera dalam pembunuhan beramai-ramai itu berjumlah 3 orang dan seorang maut.
Sabtu lepas, Brenton Tarrant, 28, warga Australia yang disyaki sebagai supremasi kulit putih yang tinggal di New Zealand, didakwa melakukan pembunuhan tersebut, lapor Reuters.
Semalam, 50 jenazah mangsa tembakan terbabit dibawa ke tanah perkuburan di Christchurch untuk dikebumikan.
Majoriti mangsa serangan adalah pendatang atau pelarian dari Pakistan, India, Malaysia, Indonesia, Turki, Somalia, Afghanistan dan Bangladesh.
Mangsa paling muda berusia 3 tahun dilahirkan di New Zealand oleh ibu bapa pelarian Somalia. Dua mangsa pertama yang dikebumikan semalam adalah bapa dan anak lelakinya, Khaled dan Hamza Mustafa, dari Syria, kata Reuters.