Singapura gantung Micheal Garing hari ini

Michael Anak Garing (Gambar Polis Singapura)

PETALING JAYA: Singapura hari ini menjatuhi hukuman gantung terhadap lelaki Sarawak, Michael Garing, individu ke-2 Malaysia yang menjalani hukuman mati di negara itu selepas Prabu N Pathmanathan pada Oktober lalu.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura berkata Micheal menjalani hukuman itu pagi ini di Penjara Changi.

Micheal adalah sebahagian kumpulan yang terlibat dalam rompakan di Singapura pada Mei 2010, yang menyebabkan kematian pekerja binaan Shanmuganathan Dillidurai. Tiga lagi cedera parah dalam kejadian tersebut.

Micheal dihukum mati atas pembunuhan Shanmuganathan pada April 2015.

Hukuman terhadapnya dilakukan selepas Prabu, yang juga digantung di Penjara Changi kerana didapati bersalah mengedar dadah di seberang tambak pada 2014.

Ia mencetus kecaman kumpulan aktivis hak asasi, yang mendakwa pengakuan yang diperolehi daripada Prabu didapati secara paksa.