500 dipindahkan kerana hotel terbakar di Singapura

500 dipindahkan kerana hotel terbakar di Singapura

Tiada orang dilaporkan cedera dalam kebakaran Hotel Grand Hyatt hari ini.

SINGAPURA:
Kira-kira 500 orang dipindahkan hari ini selepas sebuah hotel di Singapura terbakar, dan tiada orang tercedera, kata pegawai perkhidmatan kecemasan.

Rakaman televisyen memaparkan asap hitam berkepul-kepul daripada Hotel Grand Hyatt berdekatan Jalan Orchard, tetapi Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata kebakaran dapat dipadamkan segera.

Kebakaran melibatkan dapur dan salur ekzos di sebuah restoran di tingkat 2, kata SCDF, dan menambah api dipadamkan oleh perenjis air sebelum bomba tiba.

“Tiada kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran sedang disiasat,” katanya.

Pemberita AFP di tempat kejadian melaporkan pelanggan mendaftar masih kira-kira 2 jam selepas kebakaran itu, tetapi masih ada bau kebakaran di lobi dan tingkat 2 gelap.

Kejadian ini merupakan hotel mewah kedua yang terbakar di Singapura tahun ini.

Kira-kira 1,000 orang dipindahkan kerana kebakaran di Hotel Carlton pada 14 Februari lepas, dan tiada orang cedera dilaporkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.