KDN semak semula SOP permohonan warganegara

KDN semak semula SOP permohonan warganegara

Semakan itu bagi memudahkan pemohon mendapat kewarganegaraan sekiranya menepati syaratnya yang ditetapkan.

KDN komited untuk meluluskan permohonan taraf kewarganegaraan kepada mereka yang memenuhi syarat.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyemak semula tatacara operasi standard (SOP) untuk meluluskan permohonan taraf kewarganegaraan yang diguna pakai sekian lama.

Menterinya, Muhyiddin Yassin berkata semakan itu bagi memudahkan pemohon mendapat status kewarganegaraan sekiranya menepati syaratnya yang ditetapkan.

“Apa yang perlu kita lakukan adalah melihat SOP yang digunakan selama bertahun-tahun seperti isu anak angkat dan kad pengenalan merah.

“Mereka mesti tertakluk kepada apa yang diperuntukkan oleh perlembagaan,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Sebelum ini ada beberapa pihak menggesa supaya kerajaan mengkaji balik SOP permohonan kewarganegaraan.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) meminta kerajaan menggubal SOP baru untuk menyelesaikan masalah meluluskan kewarganegaraan.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Dr Michael Jeyakumar berkata orang yang tidak mempunyai kerakyatan, tidak kira sama ada kanak-kanak atau orang-orang tua, tidak boleh terus dipinggirkan.

Muhyiddin berkata kerajaan juga komited untuk meluluskan permohonan taraf kewarganegaraan.

“Kami memenuhi salah satu perkara yang kami janjikan sebelum ini adalah pengeluaran kewarganegaraan kepada umur 60 tahun dan ke atas. Majoriti adalah kaum India, sesetengah orang Cina yang beragama Islam.

“Dan 1,600 telah diberi kewarganegaraan. Itu hanya dalam beberapa bulan sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.