Laporan CEP kekal rahsia demi elak saman fitnah, kata PM

Laporan CEP kekal rahsia demi elak saman fitnah, kata PM

Dr Mahathir Mohamad berkata, laporan itu mungkin didedahkan kepada umum kemudian, selepas tindakan diambil terhadap kes yang dirujuk.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata, laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak akan didedahkan kepada umum buat masa ini untuk mengelakkan saman fitnah.

Perdana menteri berkata, laporan itu boleh diumumkan kemudian, selepas tindakan diambil terhadap kes yang dirujuk.

“Waktu ini belum sampai masanya, mungkin masa depan bila dah ambil tindakan dan tiada lagi tindakan kita dikenakan saman malu dan sebagainya, mungkin kita dedahkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) sama ada kerajaan akan mempertimbangkan penerbitan laporan itu selepas disunting.

Ramai pihak menggesa Putrajaya mendedahkan laporan itu kepada umum, selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin pada minggu lalu berkata, laporan CEP kekal di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana ia mengandungi maklumat sulit.

Pengerusi CEP, Daim Zainuddin turut menyokong laporan itu didedahkan kepada umum, tetapi ia terpulang kepada kerajaan untuk memutuskannya.

Majlis itu yang ditubuhkan untuk menasihatkan kerajaan pada peringkat awal pentadbirannya, menyiapkan laporan itu pada Ogos tahun lalu.

Mahathir berkata, susulan pertukaran kerajaan pada tahun lalu, Pakatan Harapan perlu memastikan pentadbiran negara berjalan lancar tanpa sebarang kesan negatif ke atas ekonomi dan keyakinan pelabur.

Katanya, perubahan dalam lanskap politik negara akan menjadi punca kebimbangan dalam kalangan pelabur asing.

“(Sebab itu) Saya membuat keputusan menubuhkan CEP untuk menasihat kerajaan mengenai ekonomi dan perkara lain pada 100 hari pertama (pentadbirannya).”

Katanya, CEP diamanahkan untuk membantu perkara berkaitan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan projek Saluran Paip Gas TransSabah (TSGP).

Beliau berkata, laporan akhir CEP diserahkan kepadanya dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-rasuah (GIACC) serta Jabatan Perdana Menteri.

“Laporan CEP di bawah urusan rasmi kerajaan. Disebabkan itu, semua pegawai CEP tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.”

Katanya, disebabkan peranan CEP bersifat penasihat, kerajaan perlu berwaspada dengan pendedahan sebarang maklumat laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.