Saya tak peduli dengan legasi, kata Dr M dalam dokumentari menang anugerah

Saya tak peduli dengan legasi, kata Dr M dalam dokumentari menang anugerah

Filem berdurasi 65 minit berjudul 'My Name is Mahathir' meraih pingat perak dalam satu festival media di Berlin minggu lalu.

Mahathir Mohamad Chan Tau Chou
Dr Mahathir Mohamad ditemu bual Chan Tau Chou, penerbit eksekutif bagi dokumentari ‘My Name is Mahathir’.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang terkenal dengan personalitinya yang lantang menyatakan tidak pernah mempedulikan pendapat orang lain terhadap dirinya sejak terjun dalam politik, sambil menegaskan sentiasa melakukan apa dirasakan betul.

Dalam dokumentari mengenai dirinya, beliau berkata:

“Saya selalu ditanya apakah legasi saya. Saya tidak peduli. Mereka boleh melabel saya sebagai diktator, itu hak mereka. Sejak dari awal lagi, saya telah memutuskan yang saya tidak peduli apa yang orang fikirkan mengenai saya, selagi saya buat perkara yang betul.”

Ungkapan itu merupakan kenyataan terakhirnya dalam filem berdurasi 65 minit bertajuk ‘My Name is Mahathir’, diterbitkan bersama oleh sebuah syarikat produksi berpangkalan di Singapura dan rakan kongsi mereka dari Malaysia. Filem berkenaan meraih pingat perak bagi kategori dokumentari dalam satu festival media di Berlin, minggu lalu.

Mahathir berkongsi antaranya fasa awal penglibatannya dalam politik, kebangkitannya ke puncak kuasa, perbezaan pendapat dengan timbalannya ketika itu, Anwar Ibrahim, siri tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 yang menggemparkan, usahanya menjatuhkan Najib Razak pada 2018, serta kisah di sebalik perkahwinannya yang bahagia.

Beliau berkata, sebelum pemecatan Anwar pada 1998, timbalan perdana menterinya itu telah menuduh beliau terlibat amalan rasuah, kronisme, dan nepotisme. Anwar juga mempersoalkan beliau mengenai suntikan kewangan kepada syarikat-syarikat berhutang yang mempunyai kaitan dengan golongan elit politik.

Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya di Putrajaya. Pasukan dokumentari berkenaan mendapat akses eksklusif memerhatikan kehidupan bekas perdana menteri itu menjalankan aktiviti harian selama sembilan bulan.

“Beliau mula memberitahu orang ramai yang saya ini seorang diktator, saya korup, dan saya mengamalkan kronisme serta macam-macam lagi. Adalah sukar membasmi rasuah sepenuhnya. Walaupun ada rasuah, ia berada pada tahap minimum. Jadi, negara masih mampu berkembang. Saya sendiri tidak akan melakukan rasuah,” kata Mahathir kepada penemu bualnya, penerbit eksekutif Chan Tau Chou.

“Sekarang beliau kata saya mencuri wang. Tetapi, apabila saya minta bukti daripadanya, beliau tidak dapat beri,” kata Mahathir.

Mengenai kebahagian perkahwinannya, Mahathir berkata ia adalah soal memahami bahawa beliau dan isterinya, Dr Siti Hasmah Ali, mempunyai peranan berbeza dan kedua-duanya menerima hakikat itu.

Filem itu turut memuatkan temu bual bersama seteru politik seperti Anwar dan anaknya Nurul Izzah, aktivis Kua Kia Soong serta Tian Chua, yang mana kedua-duanya merupakan tahanan ISA ketika Mahathir memerintah. Individu lain yang terlibat termasuk anak perempuan Mahathir, Marina dan cucunya Ineza Roussille, serta penganalisis politik bebas Bridget Welsh dan Shamsul Amri Baharuddin.

Chan berkata, Mahathir mengekalkan jadual kerja padat meskipun usianya sudah lanjut.

“Kudrat Mahathir semasa sesi yang panjang ini cukup mengagumkan. Gaya percakapannya yang berterus-terang dan meyakinkan seperti biasa berjaya merungkaikan isu kompleks. Jenakanya yang bersahaja memberikan impak yang menarik dalam setiap petikan kata,” kata Chua.

“Dalam memberikan maklum balas terhadap kritikan, pujian, dan perkara yang memerlukan renungan mendalam, mindanya kekal tajam. Beliau hanya berhenti sebentar untuk minum air dan sesekali terbatuk, memandangkan baru sahaja pulih daripada sakit ketika itu,” katanya kepada FMT.

Pasukan dokumentari berkenaan telah diberikan ‘lampu hijau’ pada November 2024 dan mendapat akses eksklusif kepada Mahathir dalam menjalankan aktiviti hariannya, selain sesi temu bual santai selama tiga hari yang berlangsung beberapa jam setiap kali.

Chan berkata, kru produksi mengikutinya secara berkala selama sembilan bulan, menyaksikan detik beliau di khalayak ramai mahupun secara peribadi, yang sentiasa sibuk semasa musim perayaan, perhimpunan politik, dan mesyuarat yang banyak. Kru terpaksa kekal anjal dan perlu bersedia ke atas perubahan jadualnya, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.