Salat hajat palsu untuk main emosi, bangkit sentimen agama, kata Saifuddin

Salat hajat palsu untuk main emosi, bangkit sentimen agama, kata Saifuddin

Streram juga menafikan wujudnya penganjuran salat hajat untuk dirinya dan berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, infografik tular itu bertujuan mengelirukan anggota PKR yang bakal hadir meraikan sambutan ulang tahun ke-20 PKR di Rantau malam ini.
SEREMBAN:
Hebahan infografik kononnya PKR akan adakan majlis salat hajat dan bacaan Yasin untuk calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram adalah palsu, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, ia disyaki disebarkan oleh “cybertrooper” Umno-Barisan Nasional (BN) demi menyelamatkan karier politik calon mereka, Mohamad Hasan yang semakin malap.

“Infografik troll (tular) ini bertujuan untuk mempermainkan emosi dan membangkitkan sentimen agama dan perkauman yang selama ini menjadi amalan Umno-BN dan bagi mengelirukan rakyat, khususnya pengundi-pengundi Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Ia juga bagi mengelirukan anggota PKR dan rakyat yang akan hadir bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-20 PKR pada jam 8 malam di Dataran Rantau hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal Ehwal pengguna menasihati pengundi di DUN Rantau supaya tidak terpedaya dengan dakyah palsu dan amalan politik “longkang” yang semata-mata bertujuan memenangkan calon Umno-BN.

Semalam, Streram juga menafikan wujudnya penganjuran salat hajat untuk dirinya dan menjelaskan beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Hebahan infografik yang tular di media sosial itu menyatakan salat hajat, kononnya untuk Streram sempena sambutan 20 tahun PKR akan diadakan di Masjid Imam Haji Kahar, Bandar Ekar pada jam 7 malam hari ini.

PRK DUN Rantau pada 13 April ini menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Streram, Mohamad dan 2 calon Bebas, iaitu suri rumah Malar Rajaram dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.