Umno akan hantar memorandum bantah Statut Rom kepada Sultan Selangor

Ismail Sabri Yaakob (duduk, tengah) bersama sebahagian kepimpinan Umno Selangoe memegang plakad bantahan selepas mesyuarat khas di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Umno Selangor akan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor dalam masa terdekat untuk membantah tindakan Putrajaya menandatangani Statut Rom tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

Ketua Umno Selangor, Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan kerajaan persekutuan itu melanggar Perkara 38 (4) dan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan serta membelakangkan institusi diraja.

“Statut Rom tidak ditandatangani selepas persetujuan Majlis Raja-raja, sebaliknya ditandatangani kerajaan tanpa perkenan raja.

“Dalam Perlembagaan jelas, bila kesalahan dilakukan oleh raja, maka diwujudkan mahkamah khas untuk dibicara, itupun jika ada kes. Tapi, disebabkan Statut Rom, mahkamah khas tak lagi diperlukan dan raja mahupun Agong boleh dirujuk terus ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Ini kita anggap mencabuli kedaulatan raja serta mengundang campur tangan negara asing,” katanya selepas mesyuarat khas Umno Selangor di sini, hari ini.

Pada 24 Mac lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia tidak boleh menerima beberapa syarat di bawah Statut Rom ICC.

“Kita nak meratifikasi, tapi ada syarat tertentu yang mereka mahu lakukan di bawah Statut Rom yang kita tak boleh lakukan di sini.

“Kita tidak boleh menerima perkara lucu dalam Statut Rom, sama seperti negara lain membenarkan perkahwinan sejenis. Kami hanya boleh menerima perkara yang baik,” kata perdana menteri pada bulan lalu.

Sebelum itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan membidas Putrajaya melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana menandatangani Statut Rom yang akan menjejaskan hak orang Melayu, institusi diraja dan kesucian Islam di negara ini.

Ia selepas Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju menandatangani Statut Rom, selepas berpuas hati kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong kekal terpelihara.

Hari ini, Ismail berkata, mesyuarat khas Umno Selangor yang dihadiri semua ketua sayap dari bahagian masing-masing bersetuju mendesak kerajaan menarik balik  perjanjian itu.

Tetapi, katanya, Umno tidak bercadang mengadakan bantahan besar-besaran seperti perhimpunan Icerd (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) kerana ramai yang tidak memahami Statut Rom.

“Kita tak pasti apa keuntungan kepada kita dan apa kerugian kepada kita selama ini, apabila tidak ada Statut Rom.

“Icerd begitu mudah, kita tahu ia menyentuh isu Melayu dan Islam, tapi Statut Rom tak dibincang di Parlimen, tiba-tiba tandatangan terus. Kefahaman Statut Rom masih kurang jelas, jadi ramai berasa keliru.”

ICC ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom yang berfungsi sebagai pelengkap undang-undang sedia ada di Negara Pihak untuk mendakwa individu melakukan jenayah antarabangsa seperti terkandung dalam Artikel 5 Statut Rom, iaitu pembunuhan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan pencerobohan.

Sebanyak 124 negara menjadi Negara Pihak kepada Statut Rom sehingga 4 Mac lalu, termasuk negara beraja seperti Jepun, United Kingdom dan Jordan.