Boeing bakal kurangkan pengeluaran pesawat 737 Max

Boeing mengakui data buruk memainkan peranan dalam 2 nahas Penerbangan Lion Air di Indonesia dan Penerbangan Ethiopian Airlines. (Gambar Reuters)

SAN FRANCISCO: CEO Boeing Dennis Muilenburg pada Jumaat berkata syarikat itu merancang untuk mengurangkan pengeluaran bulanan pesawat jenis 737 mulai bulan ini bagi mengalih lebih banyak sumber dalam usaha membawa pesawat 737 Max, yang kini direhatkan, kembali ke ruang udara, lapor agensi berita China Xinhua.

“Kami sedang melaraskan sistem pengeluaran 737 buat sementara waktu untuk memberi ruang kepada pemberhentian penghantaran pesawat jenis MAX, membolehkan kami memberi keutamaan kepada sumber tambahan untuk memfokus kepada pensijilan perisian dan mengembalikan MAX untuk melakukan penerbangan.

“Kami memutuskan untuk mengurangkan jumlah pengeluaran pesawat daripada sejumlah 52 kepada 42 buah sebulan mulai pertengahan April,” kata Muilenburg.

CEO Boeing itu, dalam satu kenyataan video pada Khamis, mengakui buat pertama kali bahawa data buruk memainkan peranan dalam 2 nahas udara iaitu Penerbangan 610 Lion Air di Indonesia pada Oktober tahun lepas dan Penerbangan 302 Ethiopian Airlines pada Mac lepas – kedua-duanya membabitkan pesawat jenis 737 Max dan meragut sejumlah 346 nyawa – memandangkan Sistem Penambahan Ciri-Ciri Manuver pesawat itu diaktifkan sebagai respons kepada maklumat “angle of attack” yang salah.

Muilenburg berkata syarikat itu “mempunyai tanggungjawab untuk menghapuskan risiko ini” dan sedang melakukan progres dalam kemas kini perisian pesawat jenis 737 Max yang akan mencegah nahas serupa daripada berulang.

Nahas udara yang berlaku baru-baru ini menyaksikan langkah merehatkan pesawat Boeing jenis 737 Max diambil di seluruh dunia.