RM40,200 dibayar di bawah skim MySalam sejak diperkenal awal tahun ini, kata timbalan menteri

Skim perlindungan kesihatan MySalam disasarkan kepada golongan B40 (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Skim perlindungan kesihatan MySalam telah membayar RM40,200 sejak ia diperkenalkan awal tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini,

Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah berkata, kementerian itu menerima 1,094 tuntutan di bawah skim tersebut sehingga Khamis lepas.

Katanya, kerja memproses tuntutan itu biasanya mengambil masa kira-kira 2 minggu.

“Sehingga kini, kita sudah bayar RM40,200 untuk 97 tuntutan.

“Sebanyak 95 daripada tuntutan tersebut adalah untuk kemasukan ke hospital dan 2 lagi untuk penyakit kritikal ,” katanya semasa sesi pertanyaan kementerian tersebut.

Beliau menjawab soalan Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar), yang mahu tahu jumlah peserta daripada golongan B40 dalam skim tersebut.

MySalam merupakan skim perlindungan kesihatan kebangsaan bagi membantu golongan B40 apabila mereka dimasukkan ke hospital atau menghidap penyakit kritikal.

Syarikat insurans swasta, Great Eastern Life dilaporkan memberi RM2 bilion untuk tabung tersebut. Ia dijangka membolehkan perlindungan diberikan kepada kumpulan sasar untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun.

Mereka yang layak akan menerima perlindungan kesihatan percuma bagi 36 penyakit kritikal, termasuk kanser, serangan jantung dan penyakit Alzheimer.

Mereka juga akan menerima bayaran sekali gus sebanyak RM8,000 sekiranya mereka dikenal pasti menghidap salah satu daripada penyakit kirital yang disenaraikan.

Di bawah skim itu juga, mereka akan menerima bayaran RM50 setiap hari sebagai gantian pendapatan sekiranya mereka perlu menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari dalam setahun, atau bersamaan RM700 setahun.

Kira-kira 3.7 juta rakyat Malaysia berumur antara 18 dan 55 tahun, dijangka mendapat manfaat daripada skim tersebut.

Menjawab soalan Mustapa Mohamed (PH-Jeli) sama ada skim itu akan dijadikan program kekal, Amiruddin berkata, rancangan sedia ada adalah untuk tempoh 5 tahun.

“Jika skim ni terbukti meringankan beban golongan B40, kerajaan akan mengkaji kemungkinan memanjangkan (tempoh pelaksanaannya),” katanya.