
Dalam kenyataan, Kementerian Kewangan berkata, harga RON97 akan ditetapkan pada RM4.95 seliter berbanding RM5.15 seliter ketika ini, manakala harga RON95 tanpa subsidi kekal ditetapkan pada RM3.87 seliter.
Harga diesel di Semenanjung Malaysia akan ditetapkan pada RM5.52 seliter, meningkat daripada RM6.02 seliter.
Petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 akan kekal pada RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Harga ini berkuat kuasa sehingga 8 April.
Kementerian berkata konflik berpanjangan di Asia Barat telah mendorong harga minyak mentah global naik lebih 40%, melebihi USD100 setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak global.
“Kerajaan komited untuk memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak global,” katanya.
“Sejak krisis Asia Barat meletus, kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga runcit di pam malah masih menampung sebahagian kos subsidi petrol dan diesel bagi tempoh 3 minggu berturut-turut.”
“Sebagai langkah interim susulan kenaikan harga diesel, kerajaan mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 pada April, menjadikan jumlah bantuan sebanyak RM300 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.
“Selain langkah interim ini, kerajaan juga sedang mempertimbang langkah-langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan mekanisme subsidi kekal mampan, telus dan memanfaatkan rakyat, dengan mengambil kira perkembangan semasa krisis tenaga global serta implikasi terhadap pasaran tenaga global.”