Peralihan MyKad baharu pada Jun tak jejas SARA, BUDI95

Peralihan MyKad baharu pada Jun tak jejas SARA, BUDI95

JPN jamin senarai nama penerima bantuan sedia ada di dalam sistem akan kekal dan tak tercicir semasa proses pertukaran kepada MyKad struktur baharu.

JPN KAD PENGENALAN-PENGGANTIAN KAD PENGENALAN
Menurut JPN, proses pertukaran kepada MyKad struktur baharu akan dilaksanakan secara berfasa.
PUTRAJAYA:
Proses peralihan dan pertukaran kad pengenalan kepada MyKad Struktur Baharu pada Jun ini tidak akan mengganggu proses penebusan bantuan kerajaan yang menggunakan MyKad seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI95.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, pihaknya akan memastikan senarai nama penerima bantuan sedia ada di dalam sistem akan kekal dan tidak tercicir semasa proses pertukaran tersebut.

“Pihak JPN telah menjalin kerjasama erat dengan pelbagai kementerian dan agensi penyalur bantuan bagi memastikan integriti data yang disalurkan tetap kekal lancar dan utuh,” katanya dalam kenyataan.

“Proses migrasi maklumat akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat, sekali gus memastikan bantuan akan diterima kepada penerima yang layak.”

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab kegusaran segelintir pihak mengenai kemungkinan gangguan teknikal atau keciciran nama daripada senarai penerima bantuan susulan pelancaran MyKad Struktur Baharu.

Menurut JPN, ciri keselamatan baharu pada MyKad Struktur Baharu tersebut akan memantapkan lagi proses pengesahan identiti penerima, sekali gus menyokong ekosistem sedia ada yang digunakan untuk tujuan penyaluran subsidi dan bantuan.

“Fokus utama JPN adalah untuk meningkatkan keselamatan identiti rakyat dan tidak menyukarkan rakyat untuk menerima bantuan kerajaan,” katanya.

Proses pertukaran akan dilaksanakan secara berfasa dan makluman terperinci mengenai tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi JPN atau saluran rasmi media sosial JPN.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata, MyKad baharu itu akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.

Katanya, antara ciri keselamatan baharu termasuk turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.