KUALA LUMPUR: Rang undang-undang untuk perkenalkan levi pelepasan dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini oleh Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah.
Dengan levi pelepasan ini, seseorang yang mahu keluar negara akan dikenakan RM20 jika menuju ke negara Asean dan RM40 jika ke negara lain.
Semasa membentangkan Belanjawan 2019, Putrajaya mencadangkan levi pelepasan dikenakan ke atas semua penumpang penerbangan yang keluar negara bermula 1 Jun tahun ini bagi mengalakkan pembangunan pelancongan dalam negara.
Levi ini tambahan kepada caj perkhidmatan penumpang sebanyak RM73 yang dikenakan oleh lapangan terbang.
Levi pelepasan yang dibentangkan hari ini menyatakan levi dikenakan apabila seseorang keluar Malaysia, dan menteri boleh menetapkan kadar levi itu. Ia juga menyatakan menteri boleh mengenakan caj yang berbeza-beza dan boleh meminda kadar levi itu.
Kadar levi akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
RUU itu mencadangkan mana-mana orang yang tidka membayar levi apabila meninggalkan Malaysia sudah melakukan kesalahan dan sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000, atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya.
Ia juga menyatakan mana-mana yang mengasari, menghalang, mengancam atau mencabul anggota-anggota kastam yang menjalankan tugas-tugasnya bawah akta itu, atau gagal membantu mana-mana anggota-anggota kastam, boleh dikenakan penjara maksimum 3 tahun, atau denda sehingga RM500,000, atau kedua-duanya.
Pengendali yang membawa penumpang bertanggungjawab untuk berdaftarkan bawah akta itu tidak kurang daripada tempoh 30 hari sebelum memulakan operasi.
Pengendali asing pula perlu melantik ejen yang akan bertindak bagi pihaknya.
Pengendali yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan denda maksimum RM100,000, atau penjara sehingga 1 tahun, atau kedua-duanya.