
Akmal berkata sebanyak 55 penerbangan mingguan antara 23 hingga 28 Mac membabitkan enam syarikat penerbangan telah dibatalkan, manakala ketibaan pelancong bagi tempoh 1 hingga 25 Mac turut mencatatkan penurunan.
Beliau berkata jumlah penumpang udara dari Asia Barat kini dijangka hanya sekitar 1.5 juta orang tahun ini.
“Bagaimanapun, segmen pengangkutan lain masih kekal agak stabil buat masa ini, khususnya pengendalian kargo dan pergerakan penumpang pengangkutan awam,” katanya dalam taklimat krisis tenaga global.
Akmal berkata kesan terhadap pasaran buruh dijangka lebih ketara pada suku kedua tahun 2026, bermula Jun, sekiranya konflik berterusan.
Buat masa ini, katanya, jumlah kehilangan pekerjaan menunjukkan trend menurun dari Januari hingga awal April, menandakan ada jurang masa antara kenaikan kos dan kesannya terhadap pekerjaan.
Harga makanan ternakan dalam negara dijangka meningkat sekitar 8%, manakala kos baja diramal melonjak antara 15% hingga 20%, katanya, sambil menambah peningkatan kos pengeluaran itu berkemungkinan akan menyebabkan harga kepada pengguna turut meningkat.
Namun begitu, beliau berkata bekalan makanan asas masih stabil, dengan stok mencukupi bagi beras, ayam, telur, sayur-sayuran, ikan, susu dan buah-buahan, serta tiada risiko gangguan bekalan dalam masa terdekat.