Malaysia perhebat promosi di China, sasar pelancongan berpendapatan tinggi

Malaysia perhebat promosi di China, sasar pelancongan berpendapatan tinggi

Malaysia menyasarkan segmen pelancongan berpendapatan tinggi susulan permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman pelancongan mewah.

pelancong KLIA
Menteri Tiong King Sing kata Tourism Malaysia giat berinteraksi dengan pemain utama dalam industri pelancongan di China. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia sedang memperhebat usaha promosi pelancongan di China dengan menyasarkan segmen pelancongan berasaskan pendidikan, belia dan pelancongan berpendapatan tinggi untuk memenuhi kehendak pengguna yang sentiasa berubah.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing di Facebook berkata Tourism Malaysia giat berinteraksi dengan pemain utama dalam industri pelancongan di China dalam usaha meneroka permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman pelancongan mewah, berorientasikan belia, dan berfokuskan pendidikan.

Semasa misi promosi ke Shanghai baru-baru ini, Tiong berkata delegasi Tourism Malaysia diketuai Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Amirul Rizal Abdul Rahim, bertemu beberapa pemain utama seperti LeYou Group, 8 Continents Travel, dan Cuttlefish Travel untuk meneroka trend pasaran baharu dan potensi kerjasama.

Amirul berkata pertemuan berkenaan menonjolkan dinamik pasaran pelancongan China yang pantas berubah.

“Kumpulan umur dan segmen pengguna di China yang berbeza kini mencari kelainan. Kita tidak boleh terus menjual pakej pelancongan yang sama seperti dahulu.

“Bagi Malaysia, hala tujunya mestilah ‘pelancongan campur X’, menggabungkan perjalanan dengan minat khusus sama ada makanan, pendidikan, kesejahteraan, pengembaraan atau budaya, bergantung pada pasaran yang disasarkan,” kata Amirul.

Beliau berkata Malaysia melihat potensi besar merentasi beberapa segmen, daripada pelancongan warga emas dan percutian mewah yang disesuaikan mengikut kehendak pelanggan sehinggalah pelancong muda yang mengembara bebas, serta kumpulan pelancongan keluarga dan pendidikan.

Tourism Malaysia terbuka untuk mengadakan kempen galakan dengan rakan China termasuk promosi secara digital, kerjasama dengan tokoh-tokoh penting, kandungan video pendek dan promosi bertema khusus.

“Setiap platform ini memiliki kelebihan tersendiri. Ada yang kukuh dalam segmen mewah, ada yang mempunyai rangkaian fizikal yang luas dan ada juga yang berhubung terus dengan pelancong muda dan bebas.

“Matlamat kami ialah bekerjasama dengan mereka mengikut kesesuaian khalayak mereka, supaya Malaysia dapat dipromosikan dengan lebih kerap dan bermakna kepada pelbagai kumpulan pengguna di China,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.