Exco Kedah salahkan kerajaan pusat Langkawi suram

Exco Kedah salahkan kerajaan pusat Langkawi suram

Salleh Saidin berkata isu utama menjejaskan ketibaan pelawat, termasuk perkhidmatan feri dan rangkaian perhubungan antarabangsa di bawah kawalan kerajaan persekutuan.

langkawi
Exco Pelancongan Kedah Salleh Saidin, berkata kerajaan negeri telah melakukan segala termampu di bawah bidang kuasanya menggilap, mengangkat, dan mempromosi Langkawi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Exco Kedah menyanggah kenyataan Teresa Kok daripada DAP berhubung kemerosotan jumlah pengunjung ke Langkawi, sambil menegaskan kerajaan persekutuan mengawal sebahagian besar faktor yang mencorak prestasi pelancongan pulau peranginan itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Salleh Saidin memberikan maklum balas terhadap perbandingan dibuat Kok berkait jumlah pengunjung Langkawi sebanyak 3.2 juta pada 2025, berbanding anggaran 13 juta di Phuket dan 33.56 juta di Bali.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, Langkawi semakin ketinggalan berbanding pesaing serantau, selain menekankan ketibaan pelancong ke Bali meningkat sebanyak 17.16 juta dari 2024 ke 2025, manakala Phuket menyaksikan peningkatan 4.35 juta.

Dalam kenyataan malam tadi, Salleh berkata perbandingan sedemikian ‘simplistik, tidak adil secara struktur serta bersifat ketidakjujuran intelek’.

Beliau berkata, Bali dan Phuket telah dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama masing-masing sejak 1920-an dan 1970-an, di mana keduanya disokong oleh pembangunan agresif kerajaan pusat yang agresif serta rangkaian perhubungan udara antarabangsa yang meluas.

“Langkawi pula sebaliknya beroperasi dalam ekosistem yang berbeza sama sekali, dengan saiz, kapasiti, dan kebergantungan yang lebih tinggi kepada dasar-dasar di peringkat persekutuan,” katanya.

Salleh turut menegaskan kerajaan Kedah telah melakukan segala termampu di bawah bidang kuasanya untuk menggilap, mengangkat, dan mempromosi Langkawi.

“Dan kami tidak ada masalah bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) kerana mereka juga bertungkus lumus melakukan segala yang terbaik di bawah bidang kuasa mereka.

“Tetapi, Lada hanya sebuah agensi. Persoalan besarnya adalah di mana pula peranan kerajaan persekutuan secara keseluruhan?” soalnya.

Salleh turut menyentuh secara khusus isu perkhidmatan feri Langkawi yang berlarutan sekian lama yang menjadi antara kekangan terbesar kepada pertumbuhan pelancongan pulau itu, sambil menyatakan beliau telah membangkitkan perkara berkenaan pada sidang DUN bulan lalu.

Operasi feri dan isu lain seperti kelulusan penerbangan, pembesaran lapangan terbang, insentif laluan antarabangsa, kastam dan cukai, pelancongan kapal persiaran, polisi visa, serta kempen promosi antarabangsa adalah di bawah bidang kuasa persekutuan, katanya.

“Jika YB (Teresa) ikhlas membantu memajukan Langkawi, tolong bawa perkara ini kepada rakan-rakan YB dalam kerajaan persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.