Festival Water Rave tarik 180,000 pengunjung, jana RM200 juta, kata persatuan

Festival Water Rave tarik 180,000 pengunjung, jana RM200 juta, kata persatuan

Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia berkata festival itu catat 1.4 bilion 'klik' di pelbagai platform media sosial global.

Rain Rave Water
PAS mengkritik penganjuran Rain Rave Water Music Festival yang dianggap sebagai ‘disko jalanan berskala besar’ dan tidak mencerminkan identiti Malaysia.
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pelancongan mendakwa Rain Rave Water Music Festival di Kuala Lumpur, yang menerima kritikan daripada PAS, berjaya menarik kira-kira 180,000 pengunjung dan menjana lebih RM200 juta hasil pelancongan.

Memetik ‘data terkini’, Presiden Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia, Mint Leong, berkata festival yang diadakan sempena tempoh Hari Pekerja itu turut merekodkan 1.4 bilion ‘klik’ di pelbagai platform media sosial global.

Bagaimanapun, Leong tidak menyatakan sumber data tersebut.

“Sekiranya ‘ekonomi berasaskan trafik’ ini dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata dalam tempoh terdekat, impaknya terhadap penjenamaan negara, keterlihatan di peringkat antarabangsa serta kadar penukaran kepada pelancong masa hadapan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Leong dibuat dua hari selepas PAS menyifatkan acara itu sekadar ‘disko jalanan berskala besar’ dan menuduh kerajaan kekurangan idea kreatif.

PAS juga berkata acara berkenaan tidak mencerminkan identiti Malaysia.

Mengulas mengenai kontroversi yang tercetus, Leong berkata pembangunan pelancongan yang inovatif sememangnya tidak terlepas daripada cabaran.

“Namun, jika kita berundur hanya kerana kontroversi, negara akan kehilangan momentum untuk terus maju,” katanya, sambil menyatakan sokongan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.

Leong berkata festival itu memaparkan identiti budaya Malaysia dengan menggabungkan elemen tarian tradisional bersama DJ dan muzik elektronik, selain menghentikan persembahan ketika waktu solat serta melarang alkohol dan pistol air di lokasi acara.

Beliau juga menyeru semua pihak agar melihat inisiatif seperti ini daripada perspektif yang lebih luas dan rasional, serta menyokong penganjuran pada tahun akan datang dengan penambahbaikan dari segi skala dan impak antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.