Ambil minyak sawit untuk awet muda seperti saya, kata Kok

Menurut kajian, minyak sawit kaya dengan zat seperti vitamin E, asid lemak tepu dan 20 jenis karotenoid, kata menteri.

KUALA LUMPUR: Seorang menteri hari ini menggelikan hati Dewan Rakyat semasa menggesa wakil-wakil rakyat mengambil minyak sawit merah untuk awet muda.

Menteri Perindustrian Utama, Teresa Kok berkata minyak sawit kaya dengan zat seperti vitamin E dan asid lemak tepu.

Menurut kajian, minyak sawit merah mengandungi 20 jenis karotenoid, katanya.

“Minyak sawit merah juga antioksidan dan tidak mengandungi lemak trans. Apa yang dikatakan perdana menteri baru-baru ini sangat jelas. Jika kita mengambil, kita akan jadi lebih sihat dan lebih kuat.

“Anda patut rasai kelazatan minyak sawit merah. Semua ahli-ahli Parlimen akan diberi 1 botol, supaya anda boleh awet muda seperti perdana menteri, timbalan speaker dan juga saya,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) bangun untuk mengucapkan tahniah kepada Kok kerana awet muda selepas mengambil minyak sawit.

Teresa Kok

Kok menjawab Steven Choong (PH-Tebrau) yang bertanyakan mengenai manfaat mengambil minyak sawit.

Menjawab pertanyaan Choong sama ada kerajaan merancang untuk mengurangkan bekalan minyak sawit yang melebihi permintaan dan mengekspot buah-buahan lain, Kok berkata pilihan terbaik adalah menjalankan penanaman dan perternakan bersepadu.

Beliau berkata terdapat permintaan tinggi untuk banyak jenis buah-buahan di pasaran tempatan dan luar negara, seperti nenas, tembikai, pisang dan betik.

“Tanaman selingan yang boleh buahkan hasil dalam jangka masa pendek sesuai ditanam di ruang-ruang kosong antara barisan sawit muda yang berusia kurang 3 tahun.

“Manakala bagi tanaman masa panjang yang sesuai disepadukan adalah seperti lada hitam, salak dan koko.”

Beliau berkata tanaman getah juga boleh disepadukan dengan pelbagai jenis tanaman seperti nanas untuk jangka masa pendek dan salak untuk jangka masa sederhana.

“Tanaman durian, belimbing besi, durian belanda dan cempedak juga boleh dijalankan. Lebah kelulut juga berpotensi diusahakan.”