
SEREMBAN: Dakwaan mengatakan hanya 4 pensyarah dirujuk Majlis Raja-raja untuk mendapatkan pandangan mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) adalah tidak benar, kata Annuar Musa.
Setiausaha Agung Umno itu mendedahkan mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung minggu lalu turut memanggil Peguam Negara Tommy Thomas, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, termasuk 4 ahli akademik terbabit.
“Kita tahu bukan hanya 4 orang ahli akademik itu sahaja yang dirujuk. Raja-raja Melayu membuat konsultasi atas keinginan mereka sendiri tanpa melibatkan orang politik.
“Mereka bermesyuarat secara tertutup dan menjemput Peguam Negara Tommy Thomas, pakar akademik Prof Emeritus Shad Saleem Faruqi, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan 4 orang penyelidik yang 3 daripadanya membuat pembentangan.
“Mereka tidak membuat keputusan bagi pihak Raja-raja Melayu,” katanya dalam sidang media selepas ceramah di Taman Kelab Tuanku, Rantau malam tadi.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata dakwaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa terdapat cubaan untuk melibatkan Raja-raja Melayu menentang kerajaan juga tidak benar.
“Ini kerana Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh bercakap secara politik dan tidak boleh membuat sidang media. Jadi tidak adil kepada Raja-raja Melayu, sedangkan apa yang mereka lakukan tidak serupa dengan apa yang kerajaan gambarkan.
“Bukan Raja-raja Melayu yang menghasut rakyat, kerajaan PH yang cuba menghasut rakyat.
“Dalam soal ini saya yakin 101%. Sebab apabila mereka keluar mesyuarat, Raja-raja Melayu berbincang sesama mereka sahaja.
“Raja-raja Melayu daripada rasa kebertanggungjawaban mereka mengambil keputusan untuk menyampaikan keputusan mereka kepada perdana menteri dengan cara yang cukup beradat. Tidak pergi kepada umum dan beritahu kepada ahli politik,” katanya.
Tambahnya, tuduhan itu sangat tidak adil kepada Majlis Raja-raja.
“(Beberapa) Menteri yang cuba politikkan perkara ini termasuk dengan menyatakan penarikan balik perkara itu kerana bimbang berlaku rampasan kuasa,” kata Annuar sambil memaklumkan beliau bertanggungjawab penuh atas pendedahan yang dilakukannya.
Jumaat lalu, Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom yang ditandatangani 4 Mac lalu.
Mengulas lanjut, Annuar mendesak menteri yang mengeluarkan kenyataan berhubung cadangan rampasan kuasa itu disiasat.
“Sebab itu satu tuduhan kalau mereka berpendapat akan ada berlaku rampasan oleh sesiapa sahaja sebagai anggota.
“Kabinet dia mesti substantiate. Menteri tidak boleh cakap ikut suka hati, sebab dia menteri. Orang macam saya boleh bercakap tapi itu pun tidak wajar,” katanya.
Sebelum ini, sekumpulan aktivis pelajar mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh 4 pensyarah yang didakwa digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak Statut Rom.
Mereka turut mempersoalkan mengapa kajian itu dijalankan secara sulit tanpa diketahui oleh masyarakat dan mendakwa hujah rumusan itu bersifat berat sebelah.