2 pensyarah antara ditahan berkait rasuah RM5 juta

2 pensyarah antara ditahan berkait rasuah RM5 juta

SPRM turut beku 70 akaun bank bernilai RM8.5 juta dan sita tujuh kenderaan melibatkan kes projek penyelidikan.

MACC-SPRM LOGO
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Saiful Ezral Arifin, berkata semua suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA:
Dua pensyarah antara empat diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas terkait kes meminta dan menerima rasuah hampir RM5 juta bagi projek penyelidikan di sebuah universiti swasta.

Turut ditahan seorang pegawai syarikat berkaitan minyak serta seorang pengarah syarikat kejuruteraan.

Sumber berkata, semua suspek terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an ditahan antara 2 hingga 5 petang tadi, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.

Katanya, susulan penahanan SPRM turut membekukan 70 akaun bank bernilai kira-kira RM8.5 juta selain menyita tujuh kenderaan.

“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku dalam tempoh antara tahun 2019 hingga 2025 di mana pegawai dan pengarah syarikat dijadikan proksi kepada kedua-dua pensyarah IPTS tersebut menerima rasuah.

“Semua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut dan kedua-dua pensyarah itu telah menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Saiful Ezral Arifin, mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Katanya, semua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk permohonan reman, esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.