Ahli Parlimen Sarawak beritahu sebab RUU pinda Perlembagaan gagal

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, GPS mahu membuat ‘perkara betul’ dan mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas membincangkan RUU meminda Perlembagaan Persekutuan itu.

PETALING JAYA: Bekas menteri persekutuan, Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai status Sabah dan Sarawak yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan kerana ia adalah “helah politik”.

Ahli Parlimen Santubong itu antara 59 wakil rakyat tidak mengundi untuk Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan untuk undian di Dewan Rakyat semalam.

RUU untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak itu tidak diluluskan Dewan Rakyat semalam, selepas PH gagal mendapat majoriti 2/3 yang diperlukan.

Seramai 138 daripada 221 ahli Parlimen menyokong RUU itu, kurang 10 undi untuk mencapai majoriti 2/3.

Wan Junaidi berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1976 sepatutnya membetulkan “kesilapan” pindaan pada 1963 untuk memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menyaksikan Sabah dan Sarawak menyertai persekutuan.

Katanya, cadangan pindaan yang dibentangkan PH juga tidak membetulkan kesilapan itu.

Pada 1976, Perkara 1(2) dipinda untuk semua negeri mempunyai kedudukan sama rata dalam persekutuan.

Menurut fasal itu: “Negeri-negeri persekutuan ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.”

RUU yang ditolak semalam mahu meminda fasal itu kepada: “Negeri-negeri persekutuan sepatutnya – (a) Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu, dan (b) Sabah serta Sarawak.”

Wan Junaidi berkata, parti pemerintah di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak sudah mencadangkan pindaan mereka untuk menyatakan MA63 secara jelas dalam Perkara 1(2).

Cadangan pindaan itu berbunyi: “Negeri dalam persekutuan sepatutnya, menurut Perjanjian Malaysia 1963, (a) Malaya (Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, dan Terengganu); serta (b) negeri-negeri Borneo Sabah dan Sarawak.”

Wan Junaidi berkata, MA63 tidak disebut dalam Perlembagaan.

Katanya, GPS tidak berminat mempolitikkan isu itu, tetapi mahu membuat “perkara betul” dan ini sebabnya beliau mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membincangkan RUU itu.

“Cadangan pindaan oleh kerajaan hanya perubahan kosmetik atau helah politik untuk menunjukkan PH sudah memenuhi manifesto pilihan rayanya.

“Kami mahu sesuatu yang lebih substantif, kukuh dan berasaskan semangat MA63.”

Sementara itu, aktivis, Francis Siah daripada Gerakan Perubahan Sarawak membidas PH cuba mendapatkan kelebihan politik.

Katanya, kerajaan perlu mengambil pengajaran daripada kegagalan RUU itu.

“PH tidak patut terhad untuk meminda Perlembagaan. Ini adalah perkara yang tidak patut dilakukan secara tergesa-gesa.”

Katanya, penting untuk memasukkan pindaan dicadangkan sejajar semangat MA63.

Tetapi, Siah kecewa ahli Parlimen Sabah dan Sarawak tidak bersatu dalam RUU penting yang boleh menjejaskan 2 negeri itu.