Sabah mohon perbanyak pinjaman mudah untuk air, pembetungan

Sabah mohon perbanyak pinjaman mudah untuk air, pembetungan

Sabah mahu naik taraf prasarana bekalan air dan baik pulih sistem pembetungan yang kini berusia lebih 50 tahun.

Joachim Gunsalam
Timbalan Ketua Menteri Joachim Gunsalam berkata masalah utama membelenggu sebahagian besar Sabah adalah isu bekalan air yang tidak mencukupi serta kadar air tidak terhasil tinggi. (Gambar Bernama)
KUDAT:
Kerajaan Sabah memerlukan tambahan kemudahan pinjaman mudah daripada kerajaan persekutuan bagi menaik taraf prasarana bekalan air dan membaik pulih sistem pembetungan usang yang kini berusia lebih 50 tahun.

Timbalan Ketua Menteri Joachim Gunsalam berkata masalah utama membelenggu sebahagian besar Sabah, termasuk di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, adalah isu bekalan air yang tidak mencukupi serta kadar air tidak terhasil tinggi.

Beliau berkata sistem pembetungan sedia ada sudah terlalu lama sehingga menyebabkan banyak struktur paip bawah tanah mengalami kerosakan.

“Sebab itu, antara lain yang kami perlukan adalah perbanyakan lagi pinjaman mudah untuk air dan pembetungan kerana sistem pembetungan kami sudah lama, sudah lebih 50 tahun. Jadi, banyak yang pecah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Hajiji Noor pada majlis ramah mesra Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama penduduk Pulau Banggi.

Sementara itu, Joachim mewakili seluruh rakyat Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Anwar kerana di bawah pentadbiran beliau, sembilan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 berjaya dimuktamadkan, menjadikan keseluruhan 13 daripada 29 tuntutan berjaya diselesaikan.

Beliau berkata penyelesaian tuntutan hasil Sabah amat diperlukan bagi mempertingkatkan prasarana jalan raya menuju ke kawasan kampung pedalaman yang diyakini mampu mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan dan melonjakkan ekonomi negeri ke tahap yang lebih baik.

“Kami faham ada masalah, kita berunding, namun kalau boleh kita mahu (tuntutan hak) 40% itu dipercepatkan demi pembangunan Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.