Perlu RM50 juta selamatkan projek LRA Sg Limau, kata Akmal

Perlu RM50 juta selamatkan projek LRA Sg Limau, kata Akmal

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan persekutuan terpaksa campur tangan bagi pastikan projek tersebut diteruskan.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling bernama pic 7526
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek Loji Rawatan Air Sungai Limau di Baling yang bernilai hampir RM100 juta itu hanya mencapai kemajuan sekitar 15% hingga 20% sahaja sebelum kerja pembinaan dihentikan. (Gambar Bernama)
KULIM:
Kerajaan persekutuan dijangka perlu mengeluarkan peruntukan tambahan kira-kira RM50 juta bagi menyelamatkan projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau, Baling yang terbengkalai selepas penamatan kontrak asal projek itu tahun lepas.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek yang bernilai hampir RM100 juta itu hanya mencapai kemajuan sekitar 15% hingga 20% sahaja sebelum kerja pembinaan dihentikan.

Beliau berkata kerajaan persekutuan kini terpaksa campur tangan dengan mengambil alih pengurusan projek berkenaan termasuk proses pelantikan kontraktor baharu bagi memastikan projek tersebut diteruskan.

“Bila kita nak menyelamatkan projek ini, sudah pasti berlaku NOC (Notis Perubahan) dan anggaran kita adalah kerajaan terpaksa mengeluarkan lagi sekitar RM50 juta untuk menyelamatkan projek itu.

“Sekiranya projek ini gagal dilaksanakan seperti yang dihasratkan, akan ada kesan dan bebannya, dan sekarang ini terbukti ada kos tambahan yang kita kena keluarkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke tapak projek LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau dekat Sungai Petani.

Akmal berkata proses pembinaan semula projek itu dijangka mengambil masa yang panjang sehingga 30 bulan termasuk urusan pelantikan kontraktor baharu.

“Projek ini bermula pada 2021, tetapi apabila berlaku kegagalan seperti sekarang, paling cepat pun mungkin tiga tahun lagi baru kita tahu sama ada ia dapat disiapkan sepenuhnya atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata projek LRA Bukit Selambau pula yang kini berada pada tahap kemajuan kira-kira 51% turut mengalami kelewatan berbanding jadual asal.

Katanya, peringatan sudah diberikan kepada kontraktor supaya meningkatkan kerja di tapak memandangkan rizab bekalan air di Kedah ketika ini berada pada tahap sifar peratus.

“Selagi projek ini tidak selesai, maka cabaran bekalan air akan terus berlaku. Setiap kali kita turun, komitmen diberikan tetapi kita mahu lihat kesungguhan sebenar supaya projek ini dapat disiapkan seperti dijanjikan.

“Jadi sebab itu kita mengharapkan kesungguhan itu ada, kerana sekiranya berlaku kegagalan di Bukit Selambau, bebannya akan kembali kepada kerajaan persekutuan juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.