
Hajiji yang turun padang hari ini bagi meninjau sendiri kemajuan kerja pakej WP25 berkata, setakat ini kemajuan fizikal pakej itu sekitar 12.35%berbanding sasaran jadual asal sebanyak 15.30%, manakala kemajuan kewangan mencapai 11.52%.
Katanya, beberapa kekangan utama di tapak berkenaan yang menjejaskan kemajuan kerja, termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah serta perobohan struktur sedia ada.
“Masalah utiliti dikenal pasti antara faktor utama yang memperlahankan kerja tanah, di samping cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.
“Sehubungan dengan itu, pentingnya penyelarasan berkesan antara semua agensi terlibat bagi menangani isu di tapak, termasuk mempercepat proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti supaya tidak menjejaskan garis masa pelaksanaan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESSZone), di sini.
Pada lawatan kerjanya itu, beliau turut diberikan taklimat tapak oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung perkembangan kerja projek WP25 melibatkan jajaran kira-kira 14.96km dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau.
Hajiji berkata, projek bernilai kira-kira RM269.9 juta itu dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh penyiapan pada Februari 2028, melibatkan pembinaan persimpangan bertingkat, hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan pembetung bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Menurutnya, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B merupakan antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menghubungkan kawasan utama di Pantai Timur Sabah.
“Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya.