Kerajaan kaji masukkan subsidi petrol bersasar ke akaun penerima B40

Saifuddin Nasution Ismail berkata, kaedah penggunaan kad sebagai satu pengenalan penerima subsidi petrol bersasar akan membolehkan kerajaan mengkaji corak perbelanjaan pengguna.

KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi petrol bersasar bagi golongan berpendapatan rendah B40 mungkin dibuat secara terus ke akaun penerima, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, ketika ini, 90% penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang layak menerima subsidi petrol bersasar menerima bantuan secara terus ke akaun mereka.

Beliau berkata, baki 10% lagi yang kebanyakannya berada di kawasan pedalaman akan dibantu untuk membuka akaun bank.

“Dengan cara itu, kalau kita laksanakan subsidi petrol bersasar, kita masukkan terus ke dalam akaun penerima. Jadi, pada hari pelaksanaan subsidi bersasar itu, harga di pam tetap sama.

“Saya yang layak dapat subsidi membayar RM2.08 (RON95) contohnya pada harga itu, Bera (Ismail Sabri Yaakob) pun bayar RM2.08, tetapi Bera tidak layak dapat subsidi, jadi kerajaan akan ‘bank in’ ke akaun saya sebagai rakyat yang layak menerima subsidi. Jadi, itu satu alternatif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ismail Sabri mengenai kaedah pelaksanaan pemberian subsidi petrol bersasar, termasuk menggunakan kupon atau kad.

Saifuddin berkata, pihaknya juga melihat penggunaan kad sebagai satu pengenalan penerima yang sekali gus membolehkan kerajaan mengkaji corak perbelanjaan pengguna.

Katanya, maklumat itu akan turut digunakan sebagai asas pelaksanaan subsidi bersasar untuk barangan pengguna lain pada masa depan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Kementerian Kewangan sudah memuktamadkan pemilihan satu vendor bagi membangunkan sistem pelaksanaan program subsidi itu.

Subsidi petrol bersasar itu antara langkah digariskan dalam Belanjawan 2019 untuk mengurangkan kos sara hidup bagi isi rumah B40 yang menerima pendapatan bulanan di bawah RM3,860.