Wanita ‘pemilik’ 5 juta buku gusar tabiat membaca Malaysia

Pemikir Roman, Marcus Tullius Cicero pernah berkata, “sebuah bilik tanpa buku umpama badan tanpa jiwa”, begitulah kegusaran seorang wanita “pemilik” 5 juta buku terhadap tabiat membaca di Malaysia.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Nafisah Ahmad berkata beliau masih belum berpuas hati dengan tahap pembacaan dalam kalangan rakyat negara ini.

“Sepanjang 30 tahun perkhidmatan saya, saya masih belum mencapai matlamat untuk membawa rakyat Malaysia untuk membaca,” katanya ketika ditemubual FMT.

Beliau berkata, amalan membaca masyarakat masih di tahap sederhana, namun mengakui sudah mula wujud perubahan positif.

“Amalan membaca masih belum diterapkan sebagai satu budaya walaupun kadar literasi rakyat Malaysia adalah 94.64%,” katanya.

Memetik Laporan Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia 2014, rakyat Malaysia hanya membaca 2 buku setahun, bagaimanapun jumlah ini meningkat kepada 15 buku setahun apabila PNM menjalankan kajian tersebut.

Kajian tersebut juga melaporkan rakyat menggunakan kurang daripada 3 jam seminggu untuk membaca.

Hanya 8% sahaja yang membaca lebih daripada 14 jam seminggu.

Nafisah menambah, statistik peminjaman bahan PNM bagi 2018 adalah 2,910,411 naskhah meliputi bahan perpustakaan fizikal dan 115,575 naskhah dalam talian.

“Ini membawa kepada purata sebanyak 1,300 pembaca sehari (fizikal) dan purata sejumlah 889 pengunjung sehari dalam talian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan segala program yang beliau anjurkan dalam usaha memupuk semangat membaca dalam kalangan masyarakat.

“Kita pernah anjurkan kongres perpustakaan antarabangsa di Kuala Lumpur, tahun lalu.

“Ia adalah pencapaian paling tinggi negara kerana menganjurkan kongres perpustakaan di peringkat dunia,” katanya.

Nafisah Ahmad mahu rakyat Malaysia mencontohi tabiat dan budaya membaca di Jepun.

Nafizah juga penaung, penjaga dan individu yang bertanggungjawab menjaga keseluruhan buku di dalam bangunan yang tersergam indah di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Bangunan PNM mempunyai 5.3 juta buku tidak termasuk buku yang terdapat di lebih 500 perpustakaan desa di seluruh negara.

Pernah bergelar ‘pegawai sangkut’

Nafisah turut berkongsi pengalaman hidupnya yang belum pernah dikongsi dengan mana-mana pekerjanya di PNM.

Katanya, pada 1986, beliau pernah gagal dalam temuduga sebagai pegawai tetap di PNM selepas hampir setahun menjadi pustakawan di tempat yang sama.

“Pengharapan saya ketika itu sangat tinggi kerana selalunya, pegawai sangkut (gelaran kepada bukan pegawai tetap) akan diserap sebagai pegawai tetap.

“Namun, ternyata ianya bukan satu jaminan,” katanya.

Tuah akhirnya berpihak kepadanya apabila beliau berjaya diserap masuk sebagai pegawai tetap di PNM pada 1987.

“Itu pun selepas budi bicara pengarah ketika itu,” katanya.

Selepas perisiwa itu, beliau tidak pernah menganggap kegagalan sebagai alasan untuk menghentikan langkahnya dalam hidup.

“Gagal sekali bukan gagal selama-lamanya.

“Tapak kegagalan itulah yang mendorong saya untuk memberikan yang terbaik untuk kerjaya dan kehidupan ini,” katanya.

Jantina bukan alasan

Apabila ditanya adakah beliau berdepan sebarang cabaran sepanjang memimpin PNM, katanya, tiada sebarang halangan sepanjang bergelar wanita dan pengarah di organisasi tersebut.

“Gender bukan lagi menjadi batas.

“Untuk membina keyakinan diri, kita perlu ada ilmu. Dengan ilmu, membolehkan kita untuk bergerak.

“Jika kita mempunyai ilmu yang asas sahaja, tidak akan ada sesiapa yang mahu melayan kita,” katanya.

Oleh sebab itu, Nafizah menggesa golongan wanita mempersiapkan diri dengan ilmu yang cukup untuk membina keyakinan diri.

Beliau yang akan bersara pada Jun ini, berhasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca seperti Jepun.

“Di negara Jepun, kita boleh lihat, nenek membawa cucu-cucu mereka ke perpustakaan untuk membaca.

“Begitu juga negara lain seperti China dan Korea. Saya harap, kita boleh lihat adegan itu di sini juga,” kata yang mahu masyarakat mencontohi tabiat dan budaya membaca di Jepun.