
Jenayah sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan apabila kes pengguguran bayi sentiasa dilaporkan oleh media.
Malah lebih buruk apabila penjualan pil gugur kandungan tidak dikawal oleh pihak berkuasa mahupun kementerian bertanggungjawab sehinggakan penjualan atas talian semakin berleluasa.
Taip sahaja ‘pil gugur janin’ atau ‘pil gugur kandungan’ pasti berderu keluar senarai nama akaun FB yang menjualnya, bahkan ada iklan secara terang-terangan disertai testimoni.
Penjual pula menggunakan bahasa indah memujuk dan menunjukkan betapa mudahnya urusan pembelian ubat terlarang itu!
Jika dulu kegiatan penjualan pil gugur kandungan didalangi oleh segelintir klinik swasta, namun aktiviti ‘haram’ itu kini semakin menjadi-jadi apabila ia dijual secara berleluasa oleh kumpulan sindiket menerusi beberapa laman sosial.
Namun begitu, agak menyedihkan kerana penjualan ubat itu tidak terhad kepada sesiapapun termasuklah pelajar sekolah boleh membelinya dengan mudah.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Eliza Mohd Noor beliau menyedari akan keseriusan masalah ini dan ia sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu.
“It’s very serious kerana tiada pemantauan (dari pihak sewajarnya) dan arahan yang diberikan tak betul.
“Pesakit boleh beli online dan ubat tersebut akan dihantar menggunakan pos laju. Disertakan juga cara-cara nak menggunakan ubat itu which is incorrect medically (lebihan dos),” katanya kepada FMT.
Beliau yang juga Penolong Pensyarah Kanan sambilan Perubatan Monash Universiti berkata seharusnya apa jua pengambilan ubat perlu dipantau oleh pegawai perubatan.
Malah katanya pembelian ubat tersebut juga boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tidak mengira umur.

“Saya ada pengalaman berdepan dengan 2 pesakit sebelum ini yang juga pelajar kolej. Mereka beritahu beli ubat gugurkan kandungan melalui online.
“Mereka juga beritahu sangat mudah untuk membelinya termasuklah ada kumpulan berbincang, kumpulan chat dan forum yang membincangkan tentang cara mengambil ubat ini.
“Ubat itu dijual dengan harga RM80 untuk satu pil iaitu jauh lebih mahal daripada harga asal, kemudian ia dihantar melalui pos laju.
“Kes pertama, pesakit sudah mengandung 7 bulan. Pesakit mendapat delusi minda, demam panas 41c, pendarahan dan sakit perut yang kuat. Baby meninggal dalam perut. Kes kedua pendarahan yang banyak sehingga pengsan dan baby juga meninggal,” katanya lagi.
Berdasarkan pengalaman terhadap kedua-dua kes tersebut Dr. Eliza menyifatkan adalah amat penting untuk semua orang sentiasa mendapatkan nasihat atau merujuk dengan doktor yang bertauliah kerana setiap ubat mempunyai kesan berbeza.
Sehubungan itu janganlah ambil mudah dengan apa sahaja ubat yang dijual secara online dan perlu sentiasa peka dengan setiap kesan daripadanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]