Polis akan siasat video perbicaraan kes Najib di Facebook

Polis akan siasat video perbicaraan kes Najib di Facebook

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, pihaknya akan membuat laporan maklumat awal untuk membuka laluan siasatan kerana tiada laporan polis dibuat setakat ini.

Tangkap layar klip video menunjukkan peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah menyoal seorang saksi. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis akan membuka kertas siasatan berhubung penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup perbicaraan kes bekas perdana menteri, Najib Razak yang dimuat naik ke Facebook.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, memandangkan tiada laporan polis dibuat setakat ini berhubung perkara itu, pihaknya akan membuat laporan maklumat awal (FIR) terlebih dahulu bagi membuka laluan siasatan.

“Laporan ini bagi mendapatkan maklumat awal untuk membolehkan siasatan dijalankan berhubung penularan video berkenaan.

“Polis akan siasat terlebih dahulu bagi melihat apa kesalahan yang ada,” katanya selepas Program Ramah Mesra bersama penduduk Segambut di Taman Sri Segambut hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Semalam, video selama 2 minit 12 saat bertajuk “Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib” memaparkan rakaman peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi tersebar di media sosial.

Difahamkan, rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil pada tengah hari semalam dan sudah ditonton lebih 227,000 kali, selain dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook dan mendapat lebih 1,900 komen.

Rakaman CCTV itu dipercayai sedutan prosiding hari ke-5 Najib di Mahkamah Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Mengulas perkembangan lain, Mazlan menggesa orang ramai tampil berkongsi maklumat berkaitan jenayah denganpolis, bukan menularkannya menerusi media sosial.

“Masyarakat boleh menyalurkan maklumat kepada polis dalam pelbagai bentuk, seperti melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di telefon pintar atau menghubungi talian hotline Polis Kuala Lumpur, 03-2115 9999 dan polis akan memberi respons dalam 15 minit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.