Koroner tolak permohonan panggil semula 2 pakar forensik dalam inkues Adib

Koroner tolak permohonan panggil semula 2 pakar forensik dalam inkues Adib

Koroner, Rofiah Mohamad berpuas hati dengan bukti yang diserahkan dalam prosiding inkues.

Pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah bercakap kepada wartawan di luar Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.
SHAH ALAM:
Mahkamah Koroner hari ini memutuskan tidak memanggil semula 2 saksi yang juga pakar forensik dalam inkues menentukan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner, Rofiah Mohamad berkata, tiada keperluan memanggil semula Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Dr Mohd Shah Mahmood.

Katanya, mereka berpegang kepada penemuan asal mereka dan tiada perkembangan baru dibangkitkan.

“Tiada keperluan untuk memanggil semula saksi ke-24 dan ke-27,” katanya merujuk Hafizam dan Shah.

Kedua-dua pakar itu sebelum ini memberitahu inkues, mereka percaya Adib mungkin keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika rusuhan berlaku dan kecederaanya bukan berpunca daripada tumbukan atau tendangan.

Rofiah berkata, tiada permintaan daripada Mahkamah Koroner untuk menjalankan uji kaji baru kerana ia sudah dilakukan Hafizam pada 12 April lalu.

“Jika mahkamah membenarkan saksi ke-24 mematahkan keterangan saksi, iaitu saksi ke-29 (Prof Dr Shahrom Abd Wahid), maka Shahrom perlu dipanggil semula sebagai saksi juga.

“Shahrom mungkin perlu melakukan eksperimen baru untuk membuktikan teorinya. Maka, inkues akan berterusan tanpa sebarang pengakhiran.”

Shahrom sebelum ini berhujah Adib meninggal dunia akibat dipukul.

Rofiah juga berkata, pihak berkaitan bertanggungjawab memastikan penyelesaian dicapai dalam inkues itu.

“Saya puas hati dengan bukti yang dikemukakan mencukupi untuk saya membuat keputusan,” katanya ketika menolak permohonan pihak pendakwaan itu.

Pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah kemudiannya memberitahu mahkamah, satu semakan semula akan difailkan terhadap keputusan Rofiah.

Beliau memohon prosiding ditangguhkan sementara menunggu rayuan kepada Mahkamah Tinggi dan ia yang dibenarkan Rofiah.

Rofiah menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula.

Hamdan dibantu Faten Hadni Khairuddin, manakala peguam, Syazlin Mansor mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Adib.

Adib, 24, antara anggota EMRS dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, selepas beberapa kereta dibakar pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.