Satu nombor akaun bank milik warga tempatan ditemui di kem Pati, kata saksi RCI Wang Kelian

Satu nombor akaun bank milik warga tempatan ditemui di kem Pati, kata saksi RCI Wang Kelian

Polis turut menganalisis butiran nama dan nombor telefon yang ditemui di kem Pati di Wang Kelian.

Saksi pendengaran awam RCI berkata, beberapa kem lain, sama ada yang kelihatan baru atau telah lama ditinggalkan, turut ditemui di kawasan tersebut. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Penemuan awal nombor akaun bank tercatat dalam buku nota yang ditemui di kem penyeludupan manusia di Wang Kelian, Perlis mendapati ia merupakan milik rakyat tempatan.

Pegawai turus Bahagian Perlindungan Keselamatan (E6) Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Wan Ahmad Hamirudeen Wan Ahmad berkata, pihaknya turut menganalisis butiran nama dan nombor telefon di dalam buku berkenaan.

“Semua dalam dokumen tadi ditemui oleh ASP Jamaluddin Shah Mohd Jawan,” katanya.

Jamaluddin merupakan saksi ke-7 pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur besar di Wang Kelian, Perlis.

Wan Ahmad pula adalah saksi ke-19 pendengaran awam diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, yang memasuki hari ke-6 hari ini.

Saksi lain turut memberi keterangan di depan 7 anggota panel RCI yang diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria selaku pengerusi.

Dalam pada itu, selepas pendedahan Wan Ahmad berhubung nama pemilik akaun itu, para wartawan dan orang ramai yang berada di galeri awam diminta beredar kerana ia bersifat sulit.

Sebelum itu, Wan Ahmad berkata pihaknya menemui 5 lagi kem penempatan Pati di Bukit Wang Burma pada 23 Januari 2015.

Katanya, beliau bersama Jabatan Siasatan Jenayah serta Pasukan Gerakan Am (PGA) pergi meninjau kawasan sempadan negara bagi menjejaki kem penempatan yang lain.

“Terdapat kem yang baru ditinggalkan, terdapat juga yang ditinggalkan sudah lama.

“Selain itu, kawasan itu juga kelihatan berselerak, termasuk terdapat beberapa dokumen kecil, selain sejumlah kubur dengan tandu pengangkat mayat turut dijumpai,” katanya.

Wan Ahmad berkata, selepas itu beliau menyerahkan laporan berkenaan penemuan itu kepada pihak atasan Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.

RCI Wang Kelian disambung pada 7 Mei depan bagi pendengaran saksi seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.