
Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo berjaya menjaringkan gol ke-600 sepanjang karier kelabnya dan turut membantu pasukannya mencatat keputusan seri 1-1 di gelanggang Inter Milan dalam aksi Serie A pada pagi Ahad.
Kelab gergasi Itali itu mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan kempen dengan merangkul kejuaraan ke-2 liga minggu lalu.
Meskipun Juventus ketinggalan 0-1 hasil jaringan pembukaan pemain tengah Inter, Radja Nainggolan semalam, kapten Portugal itu membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya pada separuh masa ke-2 permainan untuk melengkapkan 20 jaringan di peringkat liga musim ini, hanya ketinggalan 2 gol berbanding pendahulu jaringan paling banyak Serie A, Fabio Quagliarella dari Sampdoria.
Inter kekal kedudukan ke-3 di tangga liga dengan 62 mata, 4 mata mengatasi AS Roma di tempat ke-4, manakala Juventus yang tercicir mata buat kali ke-6 dalam 34 perlawanan musim ini, menjadi pendahulu liga dengan 88 mata.

Ronaldo mendominasi pentas bola sepak dunia lebih sedekad dan berjaya menghadiahkan pelbagai trofi kejuaraan kepada 4 kelab yang pernah diwakilinya, iaitu Sporting CP, Manchester United, Real Madrid dan Juventus.
Beliau turut menerima pelbagai bentuk anugerah dan pengiktirafan di seluruh dunia, termasuk memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak 5 kali.
Pencapaian Ronaldo itu turut mendapat perhatian Jordi Cruyff yang merupakan jurulatih kelab Liga Super China, Chongqing Dangdai Lifan dan anak kepada legenda bola sepak Belanda dan FC Barcelona, Johan.
Jordi menyifatkan Ronaldo sebagai pemain yang sudah mencapai tahap kehebatan mendiang bapanya.
“Dalam bola sepak, terdapat begitu ramai pemain yang masih hidup dan pada masa sama akan kekal abadi. Saya boleh kata seperti ayah saya, Cristiano akan sentiasa diingati.
“Bersama Messi, anda tidak perlu membuat perbandingan siapa yang terbaik di antara kedua-duanya. Ramai yang memiliki karier hebat, tetapi 2 pemain ini memiliki 15 tahun yang menakjubkan,” kata Jordi kepada Gazzetta dello Sport.
Sumber semuanyabola.com
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]