Putrajaya kaji model sesuai sebelum laksana pilihan raya PBT

Putrajaya kaji model sesuai sebelum laksana pilihan raya PBT

KPKT bekerjasama dengan NGO dan pihak berkuasa negeri dan hasil maklumat itu akan bentangkan di Kabinet mengenai model terbaik untuk dilaksanakan di Malaysia.

Pilihan raya PBT akan melaksanakannya di kawasan bandar utama terlebih dahulu dan dilebarkan secara berperingkat di tempat lain.
SEPANG:
Putrajaya dalam perancangan untuk mengeluarkan model sesuai untuk pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia, kata Zuraida Kamaruddin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, pihaknya sebelum ini berjanji untuk melaksanakan demokrasi undi ke-3 itu dalam tempoh 3 tahun ini.

“Sekarang kita dalam perancangan untuk melaksanakan model-model pilihan raya PBT, kita juga sedang mendapatkan pandangan semua pihak.

“Kita juga sedang bekerjasama dengan semua NGO dan pihak berkuasa negeri dan hasil maklumat itu kami akan bentangkan di Kabinet, apa model terbaik untuk dilaksanakan di Malaysia,” kata ketika sidang media sempena setahun pemerintahan Pakatan Harapan di KLIA pada Isnin.

Kali terakhir pilihan raya PBT diadakan adalah pada 1963 sebelum ia digantung sementara pelaksanaannya pada 1964, sehinggalah Akta Kerajaan Tempatan diluluskan oleh Parlimen pada 1976 untuk memansuhkan terus pilihan raya PBT dan sekaligus menggunapakai kaedah pelantikan terus ahli majlis PBT.

Zuraida berkata, pihaknya juga mengambil maklum perbezaan pandangan berhubung isu pelaksanaan pilihanraya PBT dan menegaskan ia hanya akan dilaksanakan apabila semua pihak bersedia.

“Perlaksanaanya juga melibatkan pembentangan pindaan akta di Parlimen. Sekitar hujung 2020 atau awal tahun 2021, saya akan membawa usul pindaan ke atas akta itu terlebih dahulu.

“Sama ada kita akan melakukan atau tidak itu isu kedua, yang penting kita bentang pindaan itu di Parlimen terlebih dahulu,” katanya.

Apabila ditanya adakah pilihan raya itu diadakan lebih awal daripada tempoh 3 tahun, Zuraida berkata ia bergantung kepada kelulusan untuk pindaan akta.

“Kita akan lihat apa yang berlaku selepas itu, kalau Kabinet setuju dan kita akan laksanakannya,” katanya.

Naib Presiden PKR itu berkata, selain daripada mencari model yang sesuai untuk dilaksanakan, pihaknya juga akan melaksanakan pilihan raya itu secara berperingkat.

“Kami akan melaksanakannya di kawasan bandar (utama) terlebih dahulu dan dilebarkan secara berperingkat di tempat lain.

“Saya tahu, sehingga kini pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah bersedia untuk perkara ini kerana mereka mempunyai dana yang cukup,” katanya.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini melahirkan kebimbangan jika pilihan raya PBT dikembalikan sekarang ia akan wujudnya isu perkauman.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, disebabkan kebimbangan itu juga menyebabkan kerajaan membuat kajian terlebih dahulu mengikut model pilihanraya PBT yang bebeza di seluruh dunia, sebelum ia dilaksanakan di Malaysia.

“Kita mengkaji semua model dan cuba untuk mendapatkan model yang terbaik yang sesuai dengan situasi di Malaysia,” katanya sambil memaklumkan pihaknya tidak menolak Malaysia juga akan menggunakan model sendiri setelah membuat penilaian pilihan raya PBT di seluruh dunia.

KPKT catat kejayaaan

Dalam perkembangan lain, Zuraida menyifatkan kementeriannya berjaya melaksanakan beberapa polisi dengan cepat dalam masa 1 tahun Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.

“Kami berjaya melancarkan 3 polisi iaitu dasar pembangunan negara 2.0, dasar perumahan negara dan dasar komuniti negara,” katanya sambil memaklumkan ia dalam proses pelaksanaan.

Tambah Zuraida antara pencapaian lain, termasuklah pemberian lesen pinjaman wang kepada komuniti kredit, penguatkuasaan dan melaksanakan garis panduan baru.

Roboh Highland Towers

Zuraida berkata pihaknya berharap mendapat kelulusan untuk merobohkan Highland Towers untuk memberi laluan kepada pembangunan tugu peringatan susulan tragedi itu.

“Kita juga mahu memastikan tempat tersebut bebas daripada ancaman vandalisme, kecurian, jenayah dan sarang penagih dadah. Komuniti di sana juga hidup dalam ketakutan sepanjang tempoh 20 tahun lalu.

“Saya harap ia dapat dicapai sebelum akhir bulan Jun,” katanya.

Pada 11 Disember 1993, bangunan Blok 1 Kondominium Highland Towers 12 tingkat yang terletak di Taman Hillview, Hulu Klang tumbang pada jam 1.35 petang menyebabkan 48 penghuni terkorban manakala hanya 3 mangsa sahaja yang berjaya dibawa keluar daripada runtuhan.

Kondominium itu yang dibina pada 1974 dan mula diduduki penghuninya 7 tahun kemudian menjadi pilihan orang ramai kerana lokasinya yang terletak di lereng bukit dan dikelilingi kehijauan hutan.

Sejak hari berdarah itu, 2 lagi blok 12 tingkat yang tinggal kelihatan suram dan sepi di siang hari dan agak menakutkan pada waktu malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.