Delegasi Orang Asal ke Eropah untuk dedah amalan industri sawit

Delegasi Orang Asal ke Eropah untuk dedah amalan industri sawit

Delegasi wakil pribumi di Sarawak akan bermesyuarat dengan para pegawai Kesatuan Eropah, Unesco dan Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa.

PETALING JAYA: Satu delegasi wakil-wakil Orang Asal dari Sarawak kini berada di Eropah untuk “mendedahkan amalan-amalan industri minyak sawit Malaysia yang “menjejaskan”, kata NGO Bruno Manser Fonds dalam kenyataan hari ini.

NGO yang berpangkalan di Switzerland itu berkata lawatan mereka semalam bermula dengan tunjuk perasaan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom di mana satu majlis promosi untuk minyak sawit sedang diadakan sempena kempen Sayangi Sawitku.

Kemudian, kumpulan orang Penan, diketuai Ukau Lupung, bertemu Menteri Perindustrian Utama, Teresa Kok untuk satu perbincangan tertutup.

Seorang pemimpin orang Penan, Komeok Joe berkata dia berpuas hati dengan perbincangan itu tetapi bimbang pihak berkuasa Sarawak tidak melaksanakan sebarang janji-janji yang diikrarkan Malaysia dalam promosi minyak sawitnya di luar negara.

Bruno Manser berkata aktivis Penan dan Berawan/Tering sedang melawan perluasan ladang-ladang sawit berdekatan Taman Negara Gunung Mulu, satu-satunya tapak Warisan Dunia Unesco di Sarawak.

Bruno Manser berkata lawatan memupuk kesedaran itu akan membawa delegasi Orang Asal ke Brussels, Belgium pada Selasa di mana NGO-NGO Eropah merancang untuk menyerahkan 150,000 tandatangan sebagai tanda sokongan kepada masyarakat-masyarakat di Mulu di Kedutaan Malaysia.

Turut dijadualkan adalah perbincangan bersama para pegawai Kesatuan Eropah, ahli-ahli Parlimen Perancis dan para pegawai Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada Khamis di Paris, kata kenyataan itu.

Delegasi itu akhir sekali akan ke Switzerland untuk bertemu Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) di Geneva.

Lawatan mereka ke Eropah akan berakhir minggu depan, dengan kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia di Berne, Switzerland, di mana kumpulan Penan akan memberikan peta-peta masyarakat mereka kepada duta.

Bruno Manser berkata delegasi itu terdiri daripada wakil-wakil orang Penan, Iban, Berawan/Tering dan Kelabit.

Lawatan itu dianjurkan dan dibiayai Bruno Manser Fonds, yang mempromosikan pemuliharaan hutan dan hak pribumi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.