Sawit: Melakar sejarah baharu menerusi teknologi

Sawit: Melakar sejarah baharu menerusi teknologi

Usaha melonjakkan prestasi industri kelapa sawit hanya boleh berjaya dengan menerapkan teknologi di dalam operasi perladangan.

kelapa sawit

Industri kelapa sawit negara terus berdepan cabaran struktur yang meruncing. Ini termasuklah profil usia pokok kelapa sawit yang menua dan kurang produktif, serta kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja manusia.

Beberapa hari lepas, semasa 37th Palm & Lauric Oils Price Outlook Conference (POC) 2026, Pengerusi Malaysian Palm Oil Council (MPOC) dilaporkan berkata hasil industri kelapa sawit negara berisiko menurun sekiranya pemilik masih menangguhkan aktiviti penanaman semula menggantikan pokok kelapa sawit yang sudah tua.

Menurut beliau, antara sebab utama yang mendorong pemilik menangguhkan aktiviti ‘replanting’ ialah harga minyak mentah sawit atau crude palm oil (CPO) yang tinggi. Berdasarkan data Malaysian Palm Oil Board (MPOB), sekitar 30% (1.7 juta hektar) kawasan kelapa sawit kini sudah berusia 19 tahun ke atas, dan seterusnya dijangka meningkat kepada 35% (2 juta hektar) menjelang tahun 2027.

Beliau turut berkata negara boleh meningkatkan pengeluaran CPO daripada 20.3 juta tan kepada 26 juta tan tanpa sebarang penyahhutanan, menerusi aktiviti ‘replanting’ menggunakan benih berkualiti tinggi dan menambah baik amalan pertanian.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa sekitar 800,000 hektar kawasan kelapa sawit dijangkiti oleh penyakit kulat Ganoderma. Penyakit Ganoderma dikenali sebagai ‘barah’ kelapa sawit, yang menyebabkan pereputan batang dan kematian pokok dalam tempoh masa 6-24 bulan.

Pada tahun 2021, Ketua Pengarah MPOB dilaporkan berkata penyakit Ganoderma menjejaskan 221,000 hektar estet sawit, dengan anggaran kerugian sebanyak RM 1.5 bilion setahun.

Pada persidangan yang sama, pengarah urusan Kumpulan SD Guthrie berkata industri kelapa sawit sedang menghadapi titik ‘krisis’ dengan pertumbuhan yang perlahan, hasil yang melembap dan keuntungan yang menurun. Seiringan, beliau menyatakan, antara lain, situasi ini disebabkan oleh usia pokok kelapa sawit yang menua.

Beliau menyatakan purata kadar ‘replanting’ ialah sekitar 2% setahun, berbanding kadar optimum sekitar 5% setahun untuk kemampanan jangka panjang. Dengan kadar ‘replanting’ yang rendah, banyak pokok kelapa sawit sudah menjangkaui tahap puncak produktiviti.

Tambahan lagi, beliau menyatakan bahawa kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja asing adalah satu risiko struktur yang signifikan. Bagi menangani risiko ini, industri kelapa sawit sewajarnya fokus kepada mekanisasi kerja-kerja bukan penuaian seperti penyelenggaraan ladang, aplikasi baja dan kawalan makhluk perosak.

Hakikatnya, rata-rata pemilik ladang kelapa sawit mahu mengaut sebanyak mungkin keuntungan daripada pokok sedia ada. Justeru itu, apabila harga CPO tinggi, pemilik tidak mahu melakukan aktiviti ‘replanting’ kerana mahu menikmati keuntungan yang tinggi. Apabila aktiviti ‘replanting’ dilakukan, pemilik terpaksa menunggu sekitar 3 tahun bagi pokok baru mengeluarkan hasil. Sepanjang 3 tahun itu, pemilik tidak dapat menjana sebarang pendapatan.

Maka, walaupun pokok sudah tua dan kurang produktif, sekurang-kurangnya masih lagi dapat menjana pendapatan kepada pemilik.

Secara am, kitaran hidup pokok kelapa sawit terbahagi kepada empat peringkat, dengan jumlah pengeluaran hasil yang berbeza: pramatang (1-3 tahun), matang muda (4-8 tahun), matang prime (9-22 tahun) dan tua (23-25 tahun).

Pada tahun 2023, menteri perladangan dan komoditi dilaporkan berkata kerajaan komited memastikan kemampanan industri kelapa sawit dengan mengekalkan had kawasan kelapa sawit sebanyak 6.5 juta hektar yang ditetapkan sejak tahun 2019, selaras Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2030).

Walaupun begitu, berdasarkan data MPOB, keluasan kawasan kelapa sawit ketika ini hanyalah 5.7 juta hektar. Majoriti kawasan adalah di Sarawak (1.659 juta hektar: 29.1%) dan Sabah (1.496 juta hektar: 26.3%).

Daripada jumlah tersebut, pekebun kecil persendirian yang tidak terikat dengan mana-mana organisasi adalah seramai 210,891 orang, dan mengusahakan kawasan kelapa sawit seluas 814,402 hektar.

Oleh yang demikian, pertumbuhan industri kelapa sawit negara lebih bergantung kepada peningkatan produktiviti dengan keluasan sedia ada, berbanding perluasan kawasan penanaman yang sudah pun ditetapkan had.

Data MPOB menunjukkan purata hasil Buah Tandan Segar (BTS) bagi ladang-ladang berkeluasan 100 ekar ke atas di seluruh negara adalah agak mendatar sepanjang tahun 2020-2025.

Data hasil BTS pekebun kecil tidak pula tersedia, di mana berkemungkinan hasilnya jauh lebih rendah daripada ladang-ladang besar yang diuruskan secara lebih sistematik.

Sawit Melakar sejarah baharu menerusi teknologi 19226

Perak secara konsisten merekodkan purata hasil BTS tertinggi, melebihi purata hasil BTS nasional. Sebaliknya, Sabah, yang merangkumi 26.3% daripada keseluruhan kawasan kelapa sawit negara, merekodkan trend hasil BTS yang menurun.

Peningkatan produktiviti tidak boleh berlaku tanpa anjakan ‘mindset’ pemilik ke arah model pertanian baharu yang berlandaskan teknologi dan penambahbaikkan amalan pertanian. Automasi dan mekanisasi perladangan dapat menjimatkan kos operasi, serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia.

Sebagai contoh, pada tahun 2024, SD Guthrie, iaitu salah sebuah syarikat perladangan kelapa sawit terbesar di dunia, dilaporkan berusaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing menerusi automasi dan mekanisasi. Selari dengan itu, SD Guthrie menetapkan sasaran nisbah pekerja kepada keluasan ladang pada tahap 1:17.5 hektar menjelang tahun 2027, iaitu 1 pekerja kepada 17.5 hektar.

Purata nisbah industri masa kini ialah 1:8 hektar.

Malah, menurut chief research & development officer SD Guthrie, cara kerja ladang tidak banyak berubah sepanjang 60-70 tahun terdahulu.

Inilah realiti sebenar industri kelapa sawit negara, kesan daripada ketersediaan tenaga kerja asing yang murah dan senang diperolehi. Hingga kini, ada kerja-kerja ladang masih dilakukan secara manual tradisional. Aktiviti membaja masih menggunakan pencedok dan baldi!

Dengan tenaga kerja asing yang ramai dan murah, pemilik ladang tiada insentif untuk mengubah cara kerja ladang dan melabur di dalam automasi serta mekanisasi ladang. Maka, cara kerja ladang kekal sama berdekad-dekad, tatkala pemilik ladang menikmati keuntungan besar.

Malangnya, ramai pemilik ladang masih selesa dan berpegang kuat pada amalan pertanian tradisional, dan tidak sedia untuk beralih kepada model pertanian baharu yang mengguna pakai teknologi terkini seperti dron, robotik, kecerdasan buatan (AI) dan ‘Internet of Things’ (IOT). Pegangan ini seumpama: “if it is not broken, do not fix it”.

Situasi ini berlaku walaupun teknologi sudah terbukti memberikan manfaat besar kepada operasi perladangan. Sebagai contoh, teknologi dron semburan dapat melonjakkan produktiviti kerja tiga kali ganda, serta mengurangkan bilangan pekerja melebihi 50%. Satu pasukan dron (satu dron, dua orang) boleh menyelesaikan aktiviti semburan racun bagi makhluk perosak bagworm sekitar 12 hektar satu hari, berbanding satu pasukan semburan cara tradisional (dua orang) yang boleh menyelesaikan sekitar 4 hektar satu hari sahaja.

Selain itu, teknologi dron dan AI boleh membantu pemilik memantau kesihatan pokok dengan pantas dan tepat. Ini membolehkan pemilik mengambil tindakan segera bagi memulihkan pokok yang kurang sihat dan kurang produktif, seterusnya meningkatkan hasil dan pendapatan.

Justeru, menurut menteri perladangan dan komoditi, peruntukan sebanyak RM 20 juta disediakan pada tahun 2026 bagi mendokong usaha automasi dan mekanisasi ladang kelapa sawit untuk melonjakkan hasil.

Bawah Belanjawan 2026, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM100 juta bagi aktiviti replanting kelapa sawit untuk pekebun kecil persendirian (PKP). Kadar pembiayaan ialah RM14,000 per hektar di Semenanjung, dan RM18,000 di Sabah dan Sarawak.

Secara keseluruhan, peruntukan RM 100 juta ini di jangka dapat membantu 1,500 PKP, melibatkan 5,900 hektar.

Usaha melonjakkan prestasi industri kelapa sawit hanya boleh berjaya dengan menerapkan teknologi di dalam operasi perladangan. Teknologi ialah kunci utama.

Gunakan teknologi untuk melakar sejarah baru di dalam industri kelapa sawit. Sebaliknya, tanpa menggunakan teknologi, bersedialah untuk menjadi sebahagian daripada nota sejarah.

 

Wan Azrain Adnan adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.