Auku sentiasa jadi OKT

Auku sentiasa jadi OKT

Auku bukan kitab mutlak, tetapi juga bukan musuh mutlak. Ia adalah teks yang sedang belajar menyesuaikan diri dengan zaman, seperti kita semua.

lecturer lecture hall

Di setiap zaman, akan ada undang-undang yang dituduh sebagai rantai. Rantai yang dikatakan mengikat kaki fikir, mengekang sayap wacana, dan membataskan langkah generasi muda yang sedang belajar mengenal dunia.

Dalam sejarah pendidikan tinggi negara, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) sering berada di kerusi tertuduh itu. Auku menjadi orang kena tuduh (OKT).

Hujah klise, Auku perlu dimansuhkan.

Sebahagian kecil mahasiswa terjebak dalam kotak fikir klasik ini, dan dalam kumpulan ini termasuklah sekumpulan pelajar yang akan berarak ke Parlimen esok untuk mendesak pemansuhan Auku.

Akta ini dituding sebagai warisan masa silam, lahir daripada ketakutan, membesar dalam syak wasangka, dan menua tanpa empati.

Akan tetapi, undang-undang seperti juga manusia, tidak hidup dalam satu tarikh. Ia bergerak, dipinda, disemak, dan diuji oleh zaman. Auku hari ini bukan Auku semalam. Ia telah melalui lapan kali pindaan, dan pindaan terbaharu pada 2024 adalah tanda akta ini masih bernafas, dan masih bersedia diajak berbincang.

Maka, sebelum kita melafazkan kata “mansuh” dengan penuh emosi, elok kita bertanya dengan lebih jujur: adakah yang perlu dibinasakan, atau yang perlu diperbetulkan?

Universiti bukan sekadar bangunan dan kuliah. Ia adalah taman fikir, tempat akal diasah dan nilai diuji. Seperti taman, ia memerlukan kebebasan untuk tumbuh, tetapi juga batas agar tidak menjadi belukar yang liar.

Ahli falsafah politik seperti Thomas Hobbes dan John Locke memberikan pandangan yang sangat baik betapa peraturan adalah sesuatu yang fitrah, untuk kepentingan majoriti.

Auku wujud sebagai pagar. Bukan untuk menghalang angin ilmu, tetapi untuk memastikan taman itu tidak musnah oleh kecuaian penghuninya sendiri. Tanpa rangka perundangan, universiti akan terapung antara idealisme dan kekacauan, antara kebebasan dan kehilangan arah.

Memansuhkan Auku tanpa menggantikannya dengan rangka lebih matang ibarat menanggalkan bumbung rumah kerana tidak menyukai bentuknya, lalu berharap hujan akan bersikap belas.

Pindaan Auku pada 2024 bukanlah revolusi yang menggoncang langit, tetapi ia adalah retak kecil pada tembok lama dan dari retak itulah cahaya mula masuk, seperti pernah diungkapkan Jalaluddin Rumi betapa luka itu tempat cahaya masuk.

Mahasiswa kini (pindaan 2024) diberi ruang untuk mengurus kewangan organisasi mereka sendiri. Mereka belajar tentang amanah, ketelusan dan tanggungjawab, bukan sekadar melaungkan kebebasan tanpa mengira akibat.

Proses demokrasi kampus diperhalus, diselaraskan dengan realiti akademik. Kuasa tatatertib tidak lagi bertakhta di satu singgahsana, tetapi diseimbangkan melalui mekanisme lebih kolektif.

Ini semua isyarat negara mula memahami betapa mahasiswa bukan kanak-kanak yang perlu sentiasa ditarik tangannya, tetapi juga bukan burung yang boleh dilepaskan tanpa arah.

Kebebasan akademik sering disebut seperti mantra yang indah bunyinya, luhur maknanya.

Akan tetapi, kebebasan bukan sekadar sayap, ia memerlukan otot nilai untuk mengangkatnya. Tanpa disiplin, kebebasan mudah menjadi pelarian. Tanpa tanggungjawab, kebebasan mudah bertukar menjadi kebisingan.

Auku, dalam bentuknya yang diperbaharui, berfungsi sebagai alat imbangan. Ia tidak sempurna, tetapi ia berusaha mengelak universiti menjadi medan jeritan tanpa fikir, atau pentas emosi tanpa hujah.

Memansuhkan Auku atas nama kebebasan semata-mata bererti mempercayai kematangan akan lahir dengan sendirinya. Sejarah manusia jarang membuktikan kepercayaan itu benar.

Tidak ada undang-undang yang lahir suci. Semua undang-undang adalah hasil ketakutan, harapan dan keperluan manusia pada zamannya. Yang membezakan tamadun matang dengan tamadun reaktif ialah keupayaan membaiki, bukan sekadar meroboh.

Auku telah lama menjadi sasaran kemarahan, tetapi kemarahan sahaja tidak membina universiti. Yang membina universiti ialah dialog jujur, reformasi konsisten dan keberanian untuk mengaku kelemahan di kedua-dua pihak.

Jika Auku benar-benar mati, ia tidak akan dipinda. Jika negara benar-benar tuli, ia tidak akan membuka ruang perubahan.

Pemansuhan sering kedengaran gagah, tetapi reformasi adalah kerja sunyi. Ia tidak mengundang sorakan, tetapi meninggalkan kesan. Ia tidak selesai dalam satu penggal, tetapi membentuk watak generasi.

Auku masih boleh diperhalusi, diperbaiki dan ditafsir dengan lebih manusiawi. Tetapi, semua itu memerlukan kesabaran. Kesabaran tentunya sifat yang jarang dirayakan dalam politik, tetapi amat penting dalam pendidikan.

Sesungguhnya, universiti adalah tempat kita belajar menjadi dewasa sebagai individu dan bangsa. Dalam proses itu, kita akan bertembung peraturan yang tidak selalu kita sukai. Tetapi, tidak semua yang tidak kita sukai perlu dimusnahkan.

Dalam dunia pekerjaan pun sama.

Auku bukan kitab mutlak, tetapi juga bukan musuh mutlak. Ia adalah teks yang sedang belajar menyesuaikan diri dengan zaman, seperti kita semua.

Dalam menimbang masa depan pendidikan negara, biarlah kita menyemak rantai tanpa memotong sayap, membina kebebasan tanpa meruntuhkan tertib, dan memperjuangkan idealisme tanpa kehilangan hikmah.

Universiti yang hebat tidak lahir daripada kebebasan semata-mata, tetapi daripada kebebasan yang berakar pada tanggungjawab dan akal budi.

 

Kori Ariff ialah pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UUM.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.