
Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan hutang dan liabiliti semasa sebanyak RM1.087 trilion atau 80.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh ini kepada 65% melalui rundingan semula projek mega seperti Transit Aliran Massa.
Tidak lama selepas pelantikan beliau kepada antara tugas paling sukar, Lim mengumumkan hutang dan liabiliti kerajaan melebihi RM1 trilion, jumlah yang meningkatkan kebimbangan pasaran dan membawa kepada prospek penurunan penarafan kredit.
Pecahan itu termasuk hutang kerajaan persekutuan sebanyak RM686.8 bilion atau 50.8% daripada KDNK dan jaminan kerajaan sebanyak RM199.1 bilion atau 14.6% daripada KDNK.
“Selepas usaha selama 6 hingga 7 bulan oleh kerajaan, hutang dan liabiliti dapat dikurangkan kepada RM1.07 bilion atau pengurangan sebanyak RM17 juta.
“Bagaimanapun, dari aspek peratusan kepada KDNK, ia sebanyak 5.5% daripada 80.3% kepada 74.8%,” katanya dalam temu bual dengan organisasi media terpilih menjelang sambutan 1 tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selepas kemenangan bersejarahnya pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas.
Lim turut menekankan kepentingan ketelusan yang dilaksanakan oleh kerajaan, terutamanya dalam menangani skandal seperti 1MDB, Tabung Haji dan Felda, selain turut memerangi amalan rasuah oleh pentadbiran terdahulu.
Menteri kewangan itu berkata kerajaan menganggarkan penjimatan sebanyak RM805 juta dicapai melalui rundingan semula projek-projek infrastruktur, manakala unjuran sebanyak RM4 bilion yang dijangka dijana daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperuntukkan kepada kementerian yang penting dan rakyat.
“Melihat dari segi prestasi, walaupun kita menghadapi banyak tekanan dari aspek kewangan, Malaysia tidak muflis seperti yang dibimbangkan apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan telah memulakan proses pembayaran tunggakan bayaran balik cukai sebanyak RM37 bilion yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.
Proses itu bermula pada Januari lepas dan akan selesai pada Oktober.
Beliau juga berkata inflasi telah diuruskan dengan baik sebanyak 0.4% pada Februari dan agensi penarafan antarabangsa turut mengekalkan penarafan A3 mereka bagi Malaysia.
Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia turut naik sebanyak 48% pada 2018, manakala eksport dan akaun semasa juga positif.
Negara mencatatkan peningkatan sebanyak 48% bagi FDI yang diluluskan dalam semua sektor sebanyak RM80.5 bilion pada tahun lepas.
“Walaupun kita menghadapi masalah kewangan susulan skandal 1MDB, keyakinan pelabur asing atau dana asing terus kukuh dan mereka turut mengekalkan tahap penarafan kredit Malaysia.
“Oleh itu, ini merupakan ujian dan Malaysia lulus dari segi menguruskan ekonomi dan kedudukan fiskal,” kata Lim.
Beliau juga berkata ekonomi berkembang baik dengan asas ekonomi yang kukuh, serta penjimatan daripada rundingan semula yang dilaksanakan untuk projek infrastruktur.
Penjimatan itu digunakan untuk menyelamatkan Tabung Haji dan Felda yang memerlukan suntikan, masing-masing sebanyak RM17.8 bilion dan RM6.23 bilion.
“Ia turut menyebabkan Malaysia mengalami tekanan, berikutan pada mulanya, kami fikir penjimatan itu dapat digunakan untuk membayar hutang 1MDB dan sebagainya. Bagaimanapun, nampaknya, kami perlu mencari sumber sendiri untuk membayarnya,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan semula projek Bandar Malaysia dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berada di peringkat awal dan kementerian sedang menunggu laporan lengkap berkaitan kedua-duanya.
“Kami melihat kepentingan negara. Pelbagai aspek diambil kira, termasuk ECRL yang melibatkan perjanjian antara kerajaan dan China, yang merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.
“ECRL adalah projek yang jika dihentikan, bermakna pampasan perlu dibayar dan melibatkan jumlah yang akan mencapai berbilion ringgit,” kata Lim.