Matrikulasi pintu belakang untuk pelajar Melayu masuk universiti, kata Dr Mahathir

Pelajar boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah setelah menamatkan kursus matrikulasi, biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 tahun.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi komen berhubung debat tentang bilangan tempat yang terhad untuk pelajar bukan Melayu di kolej matrikulasi kerajaan dengan berkata, program pra universiti itu dibuat bagi memudahkan pelajar Melayu masuk universiti.

“Kita adakan kelas matrikulasi kerana kita dapati pelajar Melayu tidak mahu ambil Sijil Tinggi Pelajaran (STPM), jadi tidak boleh masuk universiti.

“Jadi kita adakan pintu belakang kepada mereka. Ia memang berperanan sebagai pintu belakang untuk pelajar Melayu,” kata perdana menteri dalam satu sesi temu bual dengan pemberita di pejabatnya hari ini.

Program matrikulasi adalah kursus pra universiti untuk pelajar yang telah menamatkan peperiksaan Tingkatan 5 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah setelah menamatkan kursus matrikulasi, biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 tahun.

Program itu popular kerana ia lebih murah daripada kursus pra universiti lain, selain mempunyai peluang lebih cerah untuk diterima masuk ke universiti awam.

Bulan lepas Putrajaya berkata ia akan mengekalkan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera bagi program matrikulasi, tetapi pada masa sama menambah jumlah kemasukan pelajar dari 25,000 ke 40,000 orang.

Dr Mahathir berkata, keputusan kerajaan menambah jumlah kemasukan pelajar itu adalah sebagai respons terhadap aduan bahawa pelajar bukan Melayu yang memperoleh keputusan lebih baik tidak diterima masuk ke program matrikulasi.

“Jadi idea untuk menambah pelajar Melayu masuk universiti melalui matrikulasi terbatal kerana pelajar Cina dan India juga ikut pintu belakang,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata, isu berkaitan program matrikulasi tidak timbul sebelum ini.