PH masih dalam mode pilihan raya, kata Zaid

Pemimpin PH dalam satu program di Selangor sebelum pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri berkata, setahun selepas mengambil alih Putrajaya, Pakatan Harapan (PH) masih seperti terperangkap dalam “mode pilihan raya”.

Dalam satu temu ramah dengan FMT Zaid Ibrahim berkata, “Malaysia baru” sepatutnya bukan setakat mempunyai muka baru dalam kerajaan.

“Anda perlu bercakap dengan satu suara, pulihkan semangat dan bina sebuah negara. Itu yang sepatutnya Malaysia baru usahakan,” katanya.

Menurutnya, pemimpin perlu bersedia menjalin hubungan dengan semua pihak dan menyatukan mereka yang bertelagah, bukan memperlekeh mereka yang tidak sehaluan.

“Ini perkara yang sangat mengecewakan. Kerajaan baru ini langsung tidak ada azam untuk menyatukan rakyat.

“Mereka masih bersikap seperti pilihan raya akan diadakan minggu depan,” katanya.

Walaupun sudah berkuasa setahun, katanya, PH masih menunjukkan tanda-tanda “Malaysia lama”, termasuk kurangnya kemandirian dalam kalangan anggota Kabinet.

Sebagai contoh, katanya, tidak ada yang nampak berani mengkritik perdana menteri.

“Ini mengingatkan saya mengenai masa dalam Umno. Rasa takut itu nampaknya masih wujud.

“Saya tidak kata anda mesti bersikap tidak hormat, tetapi ada dasar yang mesti diperjelaskan,” katanya.

Beliau menggesa menteri supaya memenuhi janji mereka kepada rakyat, dengan berkata ia langkah ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau ada satu perkara yang saya bimbangi, ia adalah sikap takut mengkritik,” katanya.

Zaid mengingatkan bahawa sikap seperti ini akan mewujudkan sebuah kerajaan “yang mempunyai wajah berbeza tetapi ideologi yang sama”.

Ditanya mengenai spekulasi bahawa PH mungkin hanya mampu menjadi kerajaan untuk satu penggal, Zaid, yang turut dianggap memainkan peranan menyatukan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan PH berkata, pakatan tersebut boleh menjadi kuat jika tiada pergeseran dalaman.

Katanya, pergeseran dalaman merupakan ancaman terbesar kepada PH.

“Jika mereka dapat lakukannya (iaitu bersatu), mereka boleh menang pilihan raya akan datang, tetapi kalau kuasa lebih penting kepada mereka dan mereka tidak dapat selesaikannya, ia akan menimbulkan masalah,” katanya.

Beliau memberi contoh rancangan mengenai pengganti Dr Mahathir, dengan berkata, ketiadaan konsensus terbuka dalam PH boleh menjadi punca kejatuhan gabungan tersebut.

Dr Mahathir berulang kali menyatakan beliau akan memenuhi janjinya menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, sementara Anwar pula berkata, Dr Mahathir telah menjelaskan beliau tidak akan memegang jawatan perdana menteri lebih 2 tahun.

Bagaimanapun, Dr Mahathir juga dilaporkan pernah berkata, beliau perlukan 2 setengah hingga 3 tahun untuk menyelesaikan masalah yang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk hutang negara sebanyak RM1 trilion itu.