Pakar: Pelabur berhati-hati kerana isyarat bercelaru daripada kerajaan, haluan kabur

Saham Malaysia mencatatkan aliran keluar pada kesemua 10 daripada 12 bulan terakhir dan ringgit merupakan mata wang paling lemah di Asia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi berkata, Putrajaya perlu mengetengahan visi ekonomi yang lebih jelas dan koheren sekiranya ia mahu menarik pelabur berikutan laporan bahawa pelabur antarabangsa mula hilang sabar dengan Malaysia dan memilih untuk melabur di pasaran lain.

Laporan Bloomberg itu juga menyebut bahawa saham Malaysia mencatatkan aliran keluar pada kesemua 10 daripada 12 bulan terakhir dan ringgit merupakan mata wang paling lemah di Asia.

Felo kanan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Carmelo Ferlito berkata, kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lepas disambut dengan “harapan tidak realistik” dalam kalangan banyak pihak, termasuk pasaran kewangan.

Setahun kemudian katanya kepada FMT, pelabur mula sedar bahawa tidak ada parti politik yang boleh “melakukan keajaiban” dan menawarkan penyelesaian segera bagi masalah yang membebani negara.

Beliau berkata, rasa seronok yang tercetus daripada keputusan pilihan raya umum ke-14 telah surut, sementara keyakinan awam semakin merosot, terutamanya berikutan potongan belanjawanan melibatkan projek mega.

Katanya, walaupun Putrajaya mengambil langkah betul untuk memeriksa semula perbelanjaannya dan cuba menangani masalah hutang negara, namun ia juga memberikan “mesej yang bercelaru”.

“Kerajan hari ini memberi mesej yang bercelaru. Pada masa-masa tertentu ia mendakwa percaya pada keunggulan inisiatif swasta, tetapi pada masa lain menyuarakan keinginan untuk melaksanakan projek pelaburan pimpinan-kerajaan seperti kereta nasional ke-3.”

Carmelo juga bercakap tentang inisiatif kerajaan yang “terlalu bertumpu” kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan ketiadaan kerangka dasar yang jelas sebagai panduan kepada pelabur.

Katanya, pada usia 94 tahun, Dr Mahathir sememangnya dihormati, tetapi menambah, kepimpinan beliau tidak dilihat sebagai fenomena jangka panjang atas sebab yang jelas.”

“Kekaburan mengenai strategi masa depan menambah darjah ketidakpastian, membimbangkan pelabur dan menyukarkan mereka membuat ramalan yang tepat,” katanya.

Carmelo berkata, Putrajaya mesti bertindak seperti sebuah kerajaan, bukannya beroperasi seperti “sekumpulan menteri”.

Beliau juga menggesa kerajaan membina satu identiti politik yang lebih menyeluruh, dan tidak hanya terbatas kepada usaha pencegahan rasuah dan isu berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Identiti lebih kukuh akan melahirkan visi ekonomi yang lebih jelas dan tunggal, yang boleh dijadikan titik penilaian bagi tindak-tanduk kerajaan.

“Kejelasan, visi dan kestabilan adalah ramuan penting bagi menarik pelaburan.”

Pakar ekonomi di Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa, Firdaos Rosli berkata, model “Kemakmuran Bersama” baru yang diumumkan oleh kerajaan minggu lepas memerlukan penghuraian lebih terperinci bagi memberikan idea tentang rancangan ekonomi Putrajaya kepada pelabur.

“Keyakinan pelabur tidak statik,” katanya.

“Banyak negara pesaing menawarkan insentif pelaburan yang sama seperti kita, jadi soalan sebenarnya ialah: apakah yang boleh kita tawarkan yang tidak diberikan orang lain?

“Berapa banyak lagi insentif fiskal yang boleh kita berikan berpandukan keadaan kita hari ini? Apakah keistimewaan kita?”

Firdaos merujuk langkah dan reformasi ekonomi yang dilakukan kerajaan sebelum ini seperti Akta Persaingan, Akta Gaji Minimum, cukai barang dan perkhidmatan, Lebuhraya Pan Borneo, inisiatif Belt & Road serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik.

Ini katanya, hampir pasti akan dilaksanakan kerana kerajaan pada masa itu tahu pertumbuhan ekonomi negara tidak lagi serupa seperti sebelumnya.

Beliau berkata, penerusan dasar penting bagi membolehkan penambaikan seperti pembaharuan dilakukan.

“Bila kita ganggu momentum, sukar bagi kita untuk terus melangkah,” katanya.