Polis nafi rancangan serangan IS di Bintulu

BINTULU: Mesej tular di media sosial yang mendakwa kumpulan IS memasuki Sarawak serta merancang membuat serangan bom terhadap gereja di Bintulu adalah tidak benar, kata polis.

Ketua Polis Bintulu, Zulkipli Suhaili menyifatkan mesej tular yang bersertakan wajah 3 lelaki yang didakwa anggota kumpulan tersebut dan sedang diburu polis sebagai berita palsu.

“Keadaan keselamatan secara keseluruhannya terkawal,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Selain Bintulu, mesej tular tersebut turut mendakwa kumpulan berkenaan sedang merancang untuk melakukan serangan bom terhadap gereja di Sibu.

Ketua Polis Sibu, Stanley Jonathan Ringgit dilaporkan oleh akhbar tempatan hari ini menafikan wujudnya rancangan serangan bom terhadap gereja di Sibu dan berkata ketiga-tiga lelaki dalam mesej tular itu ditangkap polis.