Perak roboh sekatan Orang Asli di Gerik kerana bina tanpa kebenaran

Sekumpulan penguat kuasa merobohkan sekatan laluan pembalak di Kampung Tasik Cunex, Gerik secara aman pagi tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kerajaan Perak membenarkan pihak berkuasa merobohkan sekatan yang dibina Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik atas alasan ia dibina tanpa kebenaran di tanah kerajaan negeri, kata Ahmad Faizal Azumu.

Menteri besar Perak itu berkata, keputusan itu dibuat selaras peruntukan undang-undang dan operasi merobohkan sekatan itu dijalankan secara aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini hari ini.

Beliau turut menafikan aktiviti pembalakan di Gerik dijalankan secara “cuci mangkuk”.

“Untuk makluman, semua aktiviti pembalakan yang diluluskan dijalankan secara lestari, di mana hanya pokok-pokok yang mengikut piawaian dibenarkan ditebang melalui kaedah ‘tagging’.

“Kerajaan negeri secara konsisten memastikan urusan pembalakan tidak melebihi Catuan Pembalakan Tahunan, iaitu 7,744 hektar setiap tahun seperti yang dikehendaki Majlis Tanah Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faizal berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Gerik mengeluarkan surat pemberitahuan kepada penduduk Kampung Tasik Cunex bagi memaklumkan sekatan laluan pembalakan akan dibuka pada 3 April lalu.

“…sekatan laluan pembalakan ini telah didirikan di atas tanah kerajaan Perak dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 425 (1)(a) Kanun Tanah Negara 1965, iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

“Pembukaan sekatan sepatutnya dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah pada 23 April, namun kerja-kerja pembukaan telah dilakukan syarikat pembalakan tanpa melibatkan mana-mana agensi kerajaan.”

Orang Asli di Kampung Tasik Cunex membuat benteng manusia untuk menghalang lori balak memasuki kawasan hutan yang didakwa tanah adat mereka pada 29 April lalu dan mendakwa pembalak merobohkan sekatan itu secara diam-diam awal pagi tadi.

Hari ini, Faizal mendakwa isu itu disensasikan badan bukan kerajaan tertentu yang mendakwa ia tindakan membuli masyarakat Orang Asli.

“Siasatan sedang dijalankan polis dan sekiranya wujud sebarang unsur jenayah atau kekerasan, tindakan akan diambil mengikut lunas undang-undang,” katanya sambil menambah kerajaan negeri menggunakan pendekatan diplomasi berbincang dengan Orang Asli tanpa kekerasan, termasuk pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy pada 18 Februari lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan pihak berkuasa juga mendapati dakwaan pihak berkuasa mengugut Orang Asli menggunakan senjata ketika mengiringi syarikat pembalak menghantar makanan kepada pekerja di tapak pembalakan pada Mac lalu, tidak berasas.

“Setelah diteliti dan disiasat menunjukkan pihak berkuasa hanya membawa senjata bagi tujuan keselamatan dan tidak sama sekali berlaku sebarang ugutan terhadap penduduk.”

Faizal turut mendakwa isu Orang Asli Kampung Tasik Cunex timbul disebabkan perselisihan faham dengan penghulu Kampung Sungai Sarok yang menyebabkan 26 keluarga berpindah dari Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala pada awal 2017 dan menceroboh kawasan hutan simpan air Cepam milik kerajaan negeri 5km dari kawasan rizab Orang Asli RPS Dala.

Awal Februari lalu, penduduk Orang Asli di Gerik mendakwa kerajaan Perak menceroboh tanah adat mereka dengan kegiatan pembalakan sejak 18 Januari lalu.

Mereka mendakwa pembalakan itu dijalankan di kawasan seluas 80 hektar yang merupakan tanah adat mereka tanpa kebenaran dan sekatan didirikan selepas aduan kepada kerajaan negeri serta menteri besar pada 10 Januari lalu tidak diendahkan.

Orang Asli di Gerik sudah membuat laporan polis beberapa kali dan tiada hasil diperolehi daripada pertemuan dengan kerajaan Perak, Jabatan Perhutanan Perak serta Waytha Moorthy 3 bulan lalu.

Jabatan Perhutanan Perak menafikan dakwaan “tanah adat” Orang Asli di Gerik diceroboh kerana tiada kawasan hutan simpanan kekal di Perak diwartakan sebagai tanah adat komuniti itu.