Perkenal subjek kenali semua agama di sekolah, universiti, kata majlis belia

Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha mencadangkan subjek mengenai semua agama diperkenalkan di sekolah bagi memupuk keharmonian. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memperkenalkan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam, di peringkat sekolah dan universiti bagi meningkatkan pemahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata, subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Katanya, cadangan tersebut tidak bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, tetapi lebih kepada memupuk perpaduan dan memahami sensitiviti agama lain.

“Kita lihat idea ini dapat meningkatkan perpaduan antara masyarakat, terutamanya ketika mereka masih di bangku sekolah atau di universiti.

“Jika tidak melalui pengenalan subjek baru, mungkin subjek kenali agama lain ini boleh dimasukkan dalam sukatan pelajaran sedia ada,” katanya selepas menghadiri bengkel perbincangan meja bulat belia mengenai hal ehwal antara penganut agama di sini, hari ini.

Bengkel sehari anjuran bersama MBM, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri itu, mengumpulkan wakil persatuan belia pelbagai agama bagi membincangkan persepsi dan cadangan golongan belia berkaitan agama, perpaduan dan integrasi nasional.

Sementara itu, timbalan ketua pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri, Mimi Aldrina O P Andu berkata bengkel itu bertujuan memahami persepsi golongan belia, terutamanya mengenai agama lain di negara ini.

Katanya, perkara itu penting terutamanya dalam situasi sekarang, di mana nilai murni dan sikap saling menghormati masyarakat Timur kini kian terhakis oleh pelbagai idea baru yang mempengaruhi golongan muda.

“Idea asing dan ideologi extremisme sudah banyak mempengaruhi masyarakat pada hari ini. Bengkel hari ini diharap dapat membuka minda wakil belia, untuk lebih memahami agama kerana mereka adalah harapan masa hadapan negara,” katanya.