Putrajaya setuju tubuh jawatankuasa khas siasat kehilangan Pastor Koh, Amri Che Mat

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa atau pasukan petugas khas bagi menyiasat laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkaitan “kehilangan paksa” Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, kementeriannya memandang serius laporan Suhakam yang secara jelas menyatakan kehilangan ndividu berkenaan dikaitkan secara langsung dengan penglibatan anggota polis.

“Laporan itu sudah dibentangkan oleh Suhakam dan kita sudah teliti. Ada beberapa perkara dibangkitkan itu kita pandang serius, terutamanya yang menunjukkan polis terlibat dalam kehilangan kedua-dua orang ini.

“Kita sudah putuskan dan mendapat persetujuan jemaah menteri supaya dibentuk sebuah jawatankuasa atau pasukan petugas khas yang akan meneliti laporan itu,” katanya sewaktu ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, panel inkuiri Suhakam berkata, polis Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab ke atas kehilangan Koh yang dilihat diculik beberapa lelaki pada Februari 2017.

Ini selepas Suhakam menyalahkan unit sama atas kehilangan aktivis berpangkalan di Perlis, Amri Che Mat, pada lewat 2016.

Bekas menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau pernah mengarahkan Bukit Aman menahan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat dan Raymond Koh.

Bahkan, ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar juga menolak dakwaan polis terbabit dalam penculikan Koh.

Muhyiddin berkata, individu yang akan menganggotai jawatankuasa berkenaan sudah dikenal pasti, namun menegaskan jawatankuasa itu akan melibatkan polis, memandangkan jabatan berkenaan mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan.

“Kita sudah kenal pasti beberapa nama kerana laporan itu antara lain menyatakan polis terlibat dan pihak yang membuat siasatan, yang ada kuasa adalah polis. Jadi kita hendak pastikan anggota yang terlibat ini benar-benar sesuai.

“Polis akan terlibat, tetapi kita kena cari yang tidak terlibat secara langsung dengan kes berkenaan. Tuduhan Suhakam turut membabitkan nama dari Cawangan Khas dan lain-lain lagi. Sudah tentu kita tidak boleh letakkan pihak yang mempunyai kepentingan,” katanya.

Jelas Muhyiddin, kementeriannya menjangkakan seramai 6 atau 7 individu akan dilantik menganggotai jawatankuasa itu dan kini dalam proses menghubungi individu terbabit bagi menjelaskan terma rujukan dan tempoh pasukan itu akan mejalankan tugas.

Koh diculik di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, ketika memandu kereta ke rumah rakannya di Kelana Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lebih 10 lelaki bertopeng menggunakan 7 kenderaan menahan kereta Koh.

Polis menafikan bertanggungjawab ke atas kehilangan itu, tetapi menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang kemudian didakwa atas kesalahan menculik Koh.

Suhakam sebelum ini menghentikan siasatan awam ke atas kes Koh, selepas seorang pemandu Uber bernama Lam Chang Nam ditahan pada 12 Januari lalu.

Sehingga kini, tiada wang tebusan diminta atau komunikasi dengan penculik, walaupun wang idak dilihat sebagai motif penculikan itu.

Terdapat pihak berpendapat penculikan Koh mungkin ada kaitan dengan dakwaan beliau cuba menyebarkan agama Kristian dalam kalangan penganut Islam, walaupun keluarganya menolak dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, Amri dikatakan menjadi sasaran atas dakwaan kecenderungannya terhadap ajaran Syiah yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama tempatan.
Amri merupakan pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope. Beliau hilang sejak 24 November 2016.

Isteri Amri dilaporkan berkata, 5 kenderaan menyekat kereta suaminya sebelum dibawa pergi kira-kira 500m dari rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.